Inkues Zara Qairina: Dituduh mencuri dompet didakwa jadi punca kejadian


  • Kes
  • Isnin, 29 Sep 2025

Zara dituduh mencuri dompet pelajar sekolahnya sebelum ditemukan tidak sedarkan diri.

DITUDUH mencuri dompet dikatakan sebagai punca yang mendorong kepada penemuan badan pelajar tingkatan 1, Zara Qairina Mahathir tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu, petik Harian Metro

Dalam inkues kes melibatkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Papar itu, saksi ke-14 prosiding mengatakan dia melihat Zara masuk ke sebuah bilik asramanya untuk bertemu pelajar senior.

Saksi itu mendengar suara kuat seakan memarahi Zara namun tidak jelas dengan apa yang dikatakan.

BACA LAGI: Impian Zara Qairina nak jadi badar diejek beberapa pelajar — Saksi

BACA LAGI: Inkues Zara Qairina: Polis siasat maklumat saksi kanak-kanak bocor, keterangan sudah direkod

"Saksi ini memberitahu mahkamah bahawa Zara dipanggil untuk dua kes kecurian kehilangan dompet. Saksi terdengar perbualan isu kecurian disebut, namun tidak jelas.

"Beberapa ketika kemudian, empat senior termasuk dua orang pelajar senior yang dikenali pelajar tersebut masuk ke 'dorm' untuk berjumpa Zara. Saksi mendengar suara kuat seperti memarahi Zara, tetapi tidak dapat pastikan siapa yang bercakap," kata pasukan peguam mewakili ibu Zara pada Isnin.

Dalam masa yang sama, saksi tu mengatakan yang dia tidak pernah melihat Zara memasuki bilik tersebut sebelum ini.

Saksi itu juga berkata, dia ternampak Zara menangis sekitar 11 malam selepas dia keluar daripada bilik tersebut.

"Saksi juga memberitahu tidak pernah nampak Zara lepak atau ke dorm itu sebelum ini.

"Itu adalah kali terakhir saksi melihat Zara pada malam kejadian. Saksi juga berkata dia ada menghantar surat privasi Zara ke dorm Zara dan ada pelajar yang juga menjadi saksi dan ahli dorm Zara menerima surat tersebut," ujar pasukan peguam yang turut mengatakan saksi itu tahu siapakah individu yang memarahi Zara waktu itu.

Pasukan peguam turut mengedarkan pelan lakaran secara dua dimensi (2D) serta tiga dimensi (3D) kepada semua pihak.

Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James merupakan peguam yang mewakili ibu Zara.

Prosiding inkues akan berehat pada 1 hingga 6 Oktober dan bersambung pada 7 Oktober. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram