Impian Zara Qairina nak jadi badar diejek beberapa pelajar — Saksi


  • Kes
  • Rabu, 24 Sep 2025

Zara Qairina pernah menyatakan hasratnya untuk menjadi badar di sekolahnya.

SEORANG saksi kanak-kanak memberitahu Mahkamah Koroner bahawa Zara Qairina Mahathir, 13 tahun, pernah menyatakan hasratnya untuk menjadi badar (pengawas agama) di sekolahnya, namun nota peribadinya mengenai cita-cita itu telah diejek oleh rakan-rakan pelajar tidak lama sebelum kematiannya.

Ketika memberi keterangan dalam inkues kematian Zara Qairina, saksi kanak-kanak kedua, dikenali sebagai Pelajar B memberitahu bahawa nota itu yang dirujuk di mahkamah sebagai 'surat peribadi' telah dibaca kuat-kuat dan diejek oleh beberapa pelajar semasa satu konfrontasi di asrama pada malam 15 Julai.

"Dia kata itu adalah surat peribadi Zara Qairina, di mana dia menulis bahawa dia mahu menjadi badar. Beberapa pelajar ketawa kerana perkara itu,” kata peguam Rizwandean M. Borhan, yang memegang watching brief bagi pihak ibu Zara Qairina selepas prosiding pada Rabu (24 September).

BACA LAGI: Inkues Zara Qairina: Polis siasat maklumat saksi kanak-kanak bocor, keterangan sudah direkod

BACA LAGI: Ketua warden mengaku arah Zara Qairina diangkat, tak nampak kecederaan di badan

Saksi berkenaan berkata, Zara Qairina yang sudah menangis selepas dituduh mencuri, semakin sebak apabila surat tersebut diejek.

"Dia dikelilingi, dimarahi dan dipanggil dengan pelbagai gelaran. Kemudian mereka ketawakan dia selepas melihat surat itu. Dia menangis dengan lebih kuat," kata saksi tersebut.

Terdahulu, saksi sama menyatakan bahawa Zara Qairina telah disyaki mencuri dompet dan pin bendera Malaysia.

Apabila berdepan tuduhan itu, Zara Qairina bersumpah dia tidak mengambil barang-barang tersebut dan pengadu akhirnya memohon maaf.

Peguam Rizwandean M. Borhan.

Bagaimanapun, keadaan menjadi tegang apabila lebih ramai pelajar turut campur, ada yang menghina secara lisan sebelum mengeluarkan surat peribadi itu.

Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai. 

Dia dimasukkan ke hospital selepas ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada pukul 4 pagi, 16 Julai.

Inkues diadakan bagi menentukan punca kematiannya dengan lebih 30 saksi kanak-kanak dijangka memberi keterangan. — The Star/SANDRA SOKIAL

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram