Lebih teruk dari skandal rasuah 1994, hukuman FIFA bukti tiba masanya tekan butang ‘reset' demi bola sepak negara


  • Podium
  • Ahad, 28 Sep 2025

Penyokong bola sepak negara sudah lama mengharapkan pembaharuan terhadap landskap sukan itu.

HUKUMAN dikenakan FIFA terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) gara-gara dakwaan pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan baru-baru ini semestinya akan memberi kesan jangka masa panjang kerana usaha membaiki imej negara akan mengambil masa.

Jika sebelum ini arena bola sepak tempatan pernah dicalarkan dengan skandal rasuah 1994, hukuman kali ini boleh dikatakan lebih besar dan pahit berbanding kes yang berlaku hampir 30 tahun lalu itu.

Kes tersebut sememangnya diingati sehingga hari ini apabila barisan pemain dikenakan penggantungan serius dengan sebahagian daripadanya dihalang dari terlibat seumur hidup.

BACA LAGI: 'FAM dah ikut peraturan', TMJ persoal tindakan FIFA

BACA LAGI: Nasib berbeza dengan Holgado, bek warisan digantung kelab Sepanyol lepas dihukum FIFA

Skandal rasuah 1994 merupakan antara isu terbesar bola sepak negara.

Bagaimanapun, skandal tersebut tidak seteruk apa yang diperkatakan ketika ini dengan pemerhati bola sepak negara, Datuk Pekan Ramli turut berpandangan isu penipuan dokumen itu lebih buruk.

Ini kerana tindakan dilakukan untuk membenarkan seramai tujuh pemain beraksi dengan status warisan boleh dikatakan sebagai sesuatu yang memalukan kerana setiap pihak terlibat sanggup mengambil jalan pintas tanpa menghiraukan peraturan.

Meskipun FAM diberikan tempoh 10 hari untuk membuat rayuan, hukuman awal diberikan sudah cukup untuk mencalarkan imej bola sepak negara yang dahulunya amat digeruni.

Skandal itu turut menceritakan bagaimana situasi bola sepak negara ketika ini sudah cukup teruk dari peringkat akar umbi hingga ke tahap pengurusan dengan hal itu sudah bertahun-tahun disuarakan penyokong.

Buktinya, kain rentang tertera mesej ‘Reset bola sepak negara’ kerap kali digantung di stadium kerana peminat mengharapkan pembaharuan dapat disuntik setiap kali kehadiran wajah-wajah baharu dalam pengurusan.

Hukuman dan tindakan FIFA sememangnya mencalarkan imej bola sepak negara. Agensi

amun, sayangnya, mesej itu hanya diabaikan tanpa difahami tatkala segala isu terus dibiarkan berlalu sehingga akhirnya menjadi barah yang hanya 'membunuh'.

Hukuman FIFA itu sudah cukup untuk menceritakan bagaimana ia berpunca dari sikap tamak dan tergopoh-gopoh pengurusan yang enggan mengambil langkah teratur dalam membina pasukan mampu bersaing untuk jangka masa panjang.

Ini sepatutnya membuka mata pihak berkepentingan supaya tidak mengulang kesilapan sama selain menumpu perhatian penuh bagi mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak tanah air.

Langkah awal sudah tentu mengenai pembangunan akar umbi dengan memastikan bakat-bakat tempatan kembali diiktiraf dan diberi peluang secukupnya, baik di peringkat domestik dan antarabangsa.

Pihak berkepentingan seperti FAM dan Liga Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak perlu runsing akan hal tersebut kerana ia sebenarnya sudah berlangsung dengan adanya Piala Belia dan Piala Presiden yang memberi ruang buat ‘ubi muda’ menimba pengalaman.

Empat daripada tujuh pemain warisan yang didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA.Facebook/Malaysia NT

Selain itu, pemain sudah diberi ruang di peringkat sekolah menerusi saingan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) yang sebenarnya menjadi platform terbaik dalam mengasah bakat pemain di peringkat awal.

Tetapi, dalam memastikan hasil terbaik dapat disaksikan, FAM dan MFL perlu memastikan terdapat kesinambungan buat 'ubi muda' diserap ke tahap profesional.

Jika langkah tersebut dapat diambil dengan lancar, skuad kebangsaan tidak akan putus dari segi pelahiran bakat, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap pemain warisan mahupun naturalisasi.

Di peringkat profesional pula, tahap kompetitif perlu dipertingkatkan kerana suasana berdaya saing mampu mengeluarkan seseorang pemain agar keluar dari zon selesa.

Kes terbaru itu sepatutnya menjadi tamparan hebat kepada FAM. Facebook/FAM

Penyelesaian tersebut sebenarnya sudah bermula kerana kelab tempatan mula cakna dalam bab pengurusan dan mengelakkan isu-isu kewangan berulang dengan hal itu diharapkan mampu diteruskan.

Meskipun tanggungjawab berkenaan terletak di bahu pasukan, pihak pengelola liga iaitu MFL perlu peka dalam memastikan kemelut sedemikian tidak lagi berulang.

Sekiranya dua pendekatan awal itu boleh dilaksanakan, ia boleh menjadi batu asas kukuh untuk membuktikan arena bola sepak negara dalam usaha penambahbaikan.

Namun, persoalannya, dengan isu tersebut sudah berkali-kali ditekankan, adakah pihak berkepentingan akan sedar bahawa tindakan FIFA itu merupakan titik perubahan?

Jika hal terbabit terus diabaikan, tidak mustahil barah tersebut akan terus membesar dan pada akhirnya, sukan nombor satu Malaysia tersebut akan 'mati' dan sukar dihidupkan semula. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram