Inisiatif Burung Pungguk Jelapang MPOGCF menangi Anugerah Pembangunan Mampan


  • Massa
  • Ahad, 28 Sep 2025

MPOGCF memenangi Anugerah Pembangunan Mampan SDG 15 untuk inisiatif Burung Pungguk Jelapang Pekebun Kecil.

YAYASAN Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) meraih Anugerah Pembangunan Mampan (SDA) dalam kategori Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 15: Kehidupan di Darat untuk inisiatif utamanya, Inisiatif Burung Pungguk Jelapang untuk Pekebun Kecil (BOSI).

Dalam satu kenyataan, MPOGCF berkata, BOSI menyokong pekebun kecil sawit dalam menggunakan burung hantu sebagai penyelesaian semula jadi dan mampan untuk menguruskan haiwan perosak.

Pengiktirafan berprestij tersebut diberikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dalam satu majlis yang menghimpunkan 30 finalis cemerlang di Kuching pada 21 September lalu.

BACA LAGI: 'Lebih kerap, lebih luas', pengunjung Jelajah Sawit Hijau MPOGCF mahu program didik-hibur diteruskan setiap tahun

BACA LAGI: Salah jika anggap industri sawit tidak mesra alam, bunuh hidupan liar — MPOGCF

MPOGCF meraih Anugerah Pembangunan Mampan (SDA) kategori SDG 15: Kehidupan di Darat untuk inisiatif Burung Pungguk Jelapang bagi Pekebun Kecil.

Selain itu, BOSI bukan sahaja mengurangkan pergantungan kepada racun perosak kimia tetapi juga meningkatkan pemuliharaan biodiversiti dan melindungi ekosistem untuk generasi akan datang.

Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud berkata, anugerah itu berfungsi sebagai pemangkin untuk projek-projek yang memberi manfaat kepada pihak berkepentingan dalam industri minyak sawit termasuk pekebun kecil, sambil meningkatkan imej kemampanan minyak sawit Malaysia.

"MPOGCF akan mengembangkan inisiatif BOSI melalui BOSI 2.0 yang akan melibatkan penyertaan lebih ramai pekebun kecil sawit," katanya.

Pada masa sama, Yayasan itu juga turut menyampaikan penghargaan kepada Dr Hasber Salim dan Kumpulan Penyelidikan Burung Hantu dan Tikus (BORG) atas komitmen, inovasi dan kerja keras mereka terhadap BOSI yang telah banyak menyumbang kepada pertanian mampan dan pemuliharaan biodiversiti.

SDA yang dianjurkan oleh JCI Malaysia bertujuan mengiktiraf organisasi, syarikat dan institusi yang memberikan sumbangan besar dalam memajukan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram