
KEMENTERIAN Kewangan (MOF) menafikan laporan media yang menyatakan kerajaan akan mengehadkan pembelian RON95 kepada sekali sehari.
Menurut MOF, kerajaan sama sekali tidak merancang untuk mengenakan had sedemikian. Langkah tersebut dianggap tidak selaras dengan tujuan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang dilaksanakan untuk memastikan keperluan harian rakyat Malaysia terus dipenuhi.
“Walaupun kerajaan sedang meneliti cara bagi mengelak penyalahgunaan subsidi RON95, had pembelian sekali sehari jelas tidak selaras dengan matlamat program ini,” kata kenyataan itu.
BACA LAGI: Panduan lengkap guna aplikasi isi minyak, e-wallet beli petrol subsidi Budi Madani RON95
BACA LAGI: Kuota 300 liter RON95 sebulan mencukupi, 'cover' 170km perjalanan sehari — Amir Hamzah
MOF menegaskan, rakyat tidak perlu bimbang kerana inisiatif BUDI95 adalah bertujuan membantu pengguna mendapatkan bekalan petrol pada harga subsidi secara adil dan berterusan.
Sementara itu, Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan menasihati orang ramai untuk tidak perlu tergesa-gesa ke stesen minyak pada hari pelancaran Budi Madani RON95 (Budi95), kerana harga bersubsidi RM1.99 seliter kekal bagi penerima yang layak.
Katanya, bagi mengurangkan kesesakan di stesen minyak, kumpulan tertentu seperti anggota tentera, polis, dan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) diberikan akses awal untuk mendapatkan subsidi.
“Tiada sebab untuk panik atau berkejar mengisi minyak.
“Walaupun minyak kereta anda separuh tangki, anda masih boleh mengisi pada 30 September atau bila-bila masa selepas itu, kerana hak anda untuk menikmati harga RM1.99 tetap terjamin,” katanya pada sidang media pada Selasa.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan bahawa rakyat Malaysia yang layak boleh membeli RON95 pada harga bersubsidi RM1.99 seliter, berbanding RM2.05 seliter sebelum ini, di bawah program Budi95.
Setiap pemandu layak akan mendapat had sehingga 300 liter RON95 bersubsidi sebulan.
Pelaksanaan program ini akan dilakukan secara berperingkat, bermula 27 Sept untuk anggota polis dan tentera; 28 Sept bagi penerima STR; dan 30 Sept untuk semua rakyat Malaysia yang memiliki MyKad dan lesen memandu sah.
Ditanya mengenai tempoh harga RM1.99 seliter akan dikekalkan, Amir Hamzah berkata, harga subsidi RON95 itu akan dikekalkan “untuk sementara waktu”.
“Kita akan mengekalkannya untuk sementara. Tetapi ia bergantung kepada keadaan semasa,” ujarnya.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram