
PERUNTUKAN sebanyak 300 liter sebulan bagi petrol RON95 bersubsidi dianggap mencukupi untuk kegunaan bulanan sebuah kenderaan, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata berdasarkan kajian yang dijalankan, jumlah 300 liter itu mewakili purata penggunaan, meliputi kira-kira 170 kilometer perjalanan harian untuk kereta dalam kategori tersebut.
“Sebagai contoh, jika seseorang tinggal di Seremban dan bekerja di Kuala Lumpur atau Putrajaya, ia masih berada dalam anggaran 170km yang kita tetapkan,” katanya.
BACA LAGI: Rasionalisasi subsidi RON95, Malaysia masih tawar harga petrol termurah di dunia
Amir Hamzah berkata, tanpa MyKad atau IC biru, tiada akses kepada pelarasan subsidi RON95.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi libat urus Kampung Angkat Madani di Pulau Betong, Balik Pulau, Pulau Pinang pada Isnin (22 September), lapor The Star.
Amir Hamzah berkata, bagi pekerja seperti penghantar makanan atau p-hailing yang bergantung kepada kereta, mereka boleh membuat rayuan untuk mendapatkan kuota tambahan.
Beliau berkata, langkah itu wajar kerana ia melibatkan sumber pendapatan, namun syaratnya mereka perlu memiliki lesen sah sebagai pemandu p-hailing dan mendapat kelulusan bagi peruntukan tambahan tersebut.
Katanya, butiran lanjut mengenai pelaksanaan tersebut akan diumumkan minggu ini.
Amir Hamzah, yang juga Menteri Ekonomi mengesahkan MyKad akan dijadikan dokumen pengenalan utama bagi rakyat Malaysia untuk mengakses program subsidi petrol RON95.
“Terdapat beberapa kriteria utama berkaitan kelayakan subsidi.
“Penerima mestilah warganegara Malaysia berusia 16 tahun ke atas. Ini bermakna sesiapa yang sudah memiliki lesen motosikal atau kereta akan layak menerima subsidi,” katanya.
Beliau menegaskan penggunaan MyKad adalah kaedah paling berkesan untuk melaksanakan sistem subsidi kerana setiap rakyat Malaysia dibekalkan dengan MyKad seawal usia 12 tahun.
Katanya, kaedah berkenaan juga membolehkan kementerian membezakan antara warganegara dan bukan warganegara.
“Dengan pendekatan ini, kita dapat menangani isu pihak yang tidak layak. Tanpa kad pengenalan atau IC biru, tiada akses kepada pelarasan subsidi RON95.
“Kita juga maklum bahawa berdasarkan syarat sedia ada, warga asing yang memandu kenderaan dari luar Malaysia seperti Singapura atau Thailand tidak layak menerima subsidi kerana kereta mereka tidak didaftarkan di Malaysia.
“Syarat ini kekal dikuatkuasakan di stesen minyak. Jika datang ke stesen, mereka tidak boleh membeli RON95 kecuali kenderaan itu didaftarkan di Malaysia, walaupun mungkin memiliki IC biru,” katanya.
Beliau berkata, tanpa langkah kawalan itu, perbelanjaan kerajaan akan mengalami pembaziran sedangkan ia sepatutnya disalurkan kepada rakyat Malaysia yang benar-benar memerlukan.
Tambahnya, penggunaan MyKad dalam agihan bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang melibatkan lebih sembilan juta individu sudah berjalan dengan baik tanpa sebarang masalah.
“Oleh itu, tiada keperluan untuk membangunkan kad atau sistem baharu kerana infrastruktur sedia ada sudah mencukupi bagi menyokong pelaksanaan subsidi yang akan bermula pada 30 September ini,” jelasnya.
Amir Hamzah berkata, penggunaan MyKad juga mengukuhkan identiti serta jati diri kebangsaan.
“Apabila seseorang memiliki MyKad, mereka akan berasa bangga. MyKad adalah kunci untuk mengakses manfaat seperti subsidi RON95. Jika tiada MyKad, mereka tidak layak,” katanya.
Menyentuh soal keselamatan, beliau memberi jaminan bahawa sistem teknologi maklumat kerajaan mematuhi protokol keselamatan ketat di bawah peraturan semasa.
Katanya, rakyat Malaysia juga memahami kepentingan melindungi MyKad kerana ia berkait dengan pelbagai perkhidmatan penting. — The Star/ IMRAN HILMY
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram