'Awalnya saya hilang arah, tak tahu nak buat apa', pelajar yatim piatu sebatang kara disambut seperti famili di UUM


  • Massa
  • Selasa, 23 Sep 2025

Putera Iman (tengah) mengakui bergantung kepada wang simpanan hasil bekerja selepas tamat matrikulasi serta sumbangan orang ramai yang prihatin dengan nasibnya bagi menyambung pelajaran. — Facebook UUM

PENDAFTARAN di universiti lazimnya menjadi momen indah buat setiap anak muda kerana ia menandakan permulaan baharu sebagai seorang mahasiswa. 

Sudah tentu, bagi kebanyakan pelajar, saat ini lebih bermakna apabila ditemani ibu bapa yang tidak mahu melepaskan peluang menghantar anak mereka ke menara gading.

Namun, berbeza dengan Putera Iman Shah Shahiran, 19, yang hadir ke Universiti Utara Malaysia (UUM) dekat Sintok, Kedah pada Isnin tanpa ditemani sesiapa selepas kehilangan kedua-dua orang tuanya. 

BACA LAGI : [VIDEO] Cemas di R&R Behrang, polis terpaksa lepas tembakan, cekup suspek pecah rumah di Manjung

BACA LAGI : [VIDEO] Pura-pura ikut mencari, jiran terdekat rupa-rupanya dalang kes mayat anak tunggal dalam guni

Tabah dengan beg besar di tangan dan dua beg sandang di bahu, anak tunggal yatim piatu itu melangkah sendirian, memendam sebak melihat rakan sebaya dipeluk erat oleh ibu bapa masing-masing.

Kisah menyentuh hati itu dikongsikan UUM menerusi laman Facebook rasminya, sekali gus mengundang simpati ramai warga maya yang tersentuh dengan ketabahan Putera menjejakkan kaki ke menara gading walaupun diuji dengan kehilangan insan tersayang.

Menurut perkongsian itu, Putera kehilangan ibunya, Khatijah Mohd Rashid ketika masih di Tingkatan Satu pada 2019, sebelum diuji lagi dengan pemergian bapanya, Shahiran Pake Chi, 57, bulan lalu yang meninggal dunia secara mengejut dalam tidur.

Namun, ketentuan ALLAH menemukan Putera dengan warga UUM yang prihatin. 

Kakitangan Inasis SME Bank UUM menantinya di Stesen Kereta Api Arau atas arahan Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohd Foad Sakdan, sebelum membawanya terus ke kampus Sintok untuk mendaftar tepat sebelum waktu ditutup.

“Awalnya saya rasa hilang arah, tak tahu siapa yang boleh saya harapkan. Tetapi apabila kakitangan UUM datang menjemput, saya rasa lega, seolah-olah ada keluarga yang menyambut saya. Terima kasih atas hospitaliti UUM,” katanya sebak.

Putera, yang memperoleh CGPA 3.71 dari Kolej Matrikulasi, kini bergelar mahasiswa Sarjana Muda Pemasaran. 

Walaupun tiada lagi tempat bermanja, dia memilih untuk bangkit dan menjadikan pendidikan sebagai bekalan masa depan.

Bagi perbelanjaan di kampus, Putera mengakui bergantung kepada wang simpanan hasil bekerja selepas tamat matrikulasi serta sumbangan orang ramai yang prihatin dengan nasibnya.

Bagi anak muda itu, perjalanan dari Arau, Perlis ke Sintok bukan sekadar perjalanan fizikal, tetapi perjalanan jiwa daripada kehilangan kepada harapan, daripada duka kepada sebuah permulaan baharu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram