Produk Muslim dari Perak kini ke pasaran Eropah dan AS, Sertu DIY inovasi mudah penjagaan kebersihan diri


  • Bisnes
  • Selasa, 23 Sep 2025

Shah ketika ditemui pada Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) 2025 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur, Khamis lalu.

PENJAGAAN kebersihan dan kesucian diri merupakan antara rutin kehidupan seharian yang amat dituntut dalam Islam.

Aspek tersebut bukan sahaja merangkumi kebersihan luaran seperti mandi, berwuduk dan menjaga pakaian, malah turut meliputi kaedah pembersihan khusus seperti sertu sekiranya terkena sebarang bentuk najis berat.

Menyedari keperluan itu, usahawan Muslim tempatan, Shah Mujaddidi tampil memperkenalkan jenama Sertu DIY sebagai produk pembersihan berasaskan tanah liat pertama di Malaysia yang dibangunkan khusus untuk tujuan sertu dan tayamum.

BACA LAGI: Dari Pulau Kambing ke Chendering, PERTIMA catat sejarah dalam lebih 50 tahun perniagaan raih jualan tertinggi ketika PKP

BACA LAGI: Pernah dihina kawan, wanita kampung kini usahawan berjaya, bina empayar produk kecantikan seluruh Indonesia

Proses sertu dan tayamum yang kini diinovasikan agar memudahkan umat Muslim membersihkan diri dari najis berat. — Gambar hiasan

Menariknya, sebelum terlibat dalam bidang itu, Shah terlebih dahulu bekerja di sebuah kilang kecil pengeluar mineral untuk industri firebricks sejak 1997.

Namun, perjalanan hampir tiga dekad dalam industri mineral akhirnya menemukan beliau dengan satu misi besar iaitu menyediakan solusi pembersihan yang halal, selamat dan menepati syarak.

Beroperasi di bawah syarikat CRMineral House of Clay di Bidor, Perak, Sertu DIY kini muncul sebagai inovasi tempatan yang memberi pilihan lebih mudah, praktikal serta diyakini untuk umat Islam menjaga tuntutan kebersihan.

"Titik pusingan ini berlaku pada 2019 yang ketika itu saya lihat ramai pengusaha Muslim terlibat dalam industri halal.

"Jadi, aktiviti sertu juga sebenarnya termasuk dalam konteks penting dalam industri ini.

"Pada waktu itu saya terfikir untuk bertemu hampir 10 pengusaha yang hasilkan produk sertu dan tayamum untuk belajar lebih dalam.

"Paling mengejutkan apabila rata-ratanya menjawab mereka ambil produk daripada syarikat bukan Muslim yang kita sendiri tidak berapa pasti keseluruhan proses dilakukan mengikut tuntutan Islam atau tidak," katanya kepada Majoriti.

Lelaki berusia 52 tahun itu berkata, perkara itu sekali gus menimbulkan ideanya untuk mula memberi kesederan lebih luas kepada masyarakat Muslim.

Shah kemudiannya nekad menjalankan beberapa kajian terperinci dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) bagi menghasilkan tanah liat yang benar-benar suci serta bebas daripada pencemaran.

Antara rangkaian produk Sertu DIY.

Proses R&D dan jaminan kualiti

Tanah liat yang diambil dari lombong di Perak juga diproses secara teliti.

Ia termasuk rawatan khas untuk menyingkirkan mikroorganisma asing, logam berat serta unsur yang boleh menimbulkan iritasi pada kulit.

"Kita korek tanah lebih empat meter ke dalam ikut spesifikasi JAKIM.

"Selepas rawatan, tanah liat kita bebas daripada bahan berbahaya dan tidak menyebabkan kegatalan.

"Semua laporan ujian kita paparkan secara terbuka supaya orang boleh semak dan yakin," jelasnya.

Produk dihasilkan juga hadir dalam beberapa variasi yang bukan sahaj boleh digunakan semua peringkat umur, malah mudah dibawa ke mana sahaja.

Antaranya adalah serbuk Sertu DIY, sabun tanah liat semula jadi serta sabun pencuci tangan sertu praktikal untuk digunakan setiap hari.

Selain kegunaan peribadi, produk tersebut turut datang dengan pakej iaitu satu set sertu lengkap dengan alat-alat khasnya seperti botol semburan, sabun, serbuk tanah liat dan banyak lagi.

Menurut Shah, set lengkap sertu yang ditawarkan itu juga dijual dengan harga serendah RM130.

"Set ini biasanya banyak digunakan oleh petugas-petugas kesihatan di hospital atau klinik, pekerja hotel dan pelajar universiti untuk kegunaan pendidikan berkaitan," jelasnya.

Ia turut dijual dalam saiz yang besar untuk kegunaan industri.

Lebih sekadar bersih fizikal

Menurut Shah, masyarakat sering melihat sertu hanya sebagai kewajipan apabila terkena najis mughallazah (najis berat yang merujuk kepada anjing, khinzir dan seangkatan dengannya).

Hakikatnya, ia juga solusi pencegahan dalam dunia moden yang penuh risiko pencemaran.

"Saya ambil contoh wang kertas yang pernah ada kajian mendapati kesan DNA lemak babi pada duit tersebut.

"Mungkin duit itu berpusing di pasar bukan Islam, disentuh oleh pelbagai tangan dan akhirnya sampai kepada kita.

"Kalau ada sabun tanah liat ini di rumah atau pejabat, kita boleh sertu tangan sebelum solat.

"Ia bukan soal kotoran fizikal sahaja, tetapi jaminan kesucian ibadah," ujarnya.

Tahap kesedaran masyarakat menurutnya masih di tahap rendah kerana kebanyakan pengguna sukar membezakan produk sahih dengan tiduran di pasaran.

Shah juga tidak terkecuali berdepan dengan pelbagai kerenah pengguna yang bersikap kurang peka terhadap perkara tersebut.

"Ada segelintir kata tak perlulah sertu, cukup sabun anti-bakteria dan air sahaja, bandingkan harga produk dan kata kami jual lebih mahal.

"Sedangkan kosnya tinggi sebab kami ikut setiap spesifikasi ditentukan, buat kajian, rawatan, jalani ujian makmal dan sebagainya.

"Isunya bukan mahal atau murah, tetapi adakah ia patuh syarak," tegasnya.

Tambahnya, produk Sertu DIY miliknya juga merupakan antara dua produk di Malaysia yang mendapat kelulusan ujian KKM dalam kategori sertu.

Set Sertu DIY yang ditawarkan untuk sektor pendidikan, perhotelan dan perubatan.

Meskipun permintaan tempatan masih kurang dan tidak seagresif eksport luar negara, Shah yakin bahawa pendedahan dapat diberikan dengan pelbagai penganjuran aktiviti berkaitan industri halal di Malaysia.

Katanya, Sertu DIY kini mendapat permintaan eksport dari enam negara termasuk Jepun, Taiwan, Brunei, Sepanyol dan Amerika Syarikat (AS).

"Yang menariknya, permintaan dari luar negara lebih tinggi daripada pengguna tempatan.

"Misalnya, di Thailand, kilang makanan Muslim wajib menggunakan sabun sertu kerana pekerjanya bukan Islam," kongsinya.

Bagi meluaskan lagi rangkaian perniagaannya, Shah kini merancang untuk menambah operasi ke arah kilang OEM (Original Equipment Manufacturer) demi membolehkan lebih ramai pengasas produk Muslim menggunakan bahan asas yang diyakini suci dan halal.

"Insya-ALLAH, 2026 kita mahu buka peluang OEM.

"Pengasas boleh buat produk jenama sendiri, tetapi tanah asas tetap daripada kita iaitu tanah Muslim, dari lombong Muslim, diproses ikut syarak.

"Ini supaya umat Islam tidak lagi keliru atau bergantung kepada sumber yang meragukan," ucapnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram