'Ada kata saya gila,' Serena mula bisnes tindik telinga 'hypoallergenic' di loteng rumah, kini cecah nilai RM330 juta


  • Bisnes
  • Isnin, 22 Sep 2025

Louisa sanggup meninggalkan kerjayanya demi mencapai impian membuka perniagaan sendiri. — Agensi

DAHULUNYA wanita ini pernah menerima gaji setaraf eksekutif tertinggi, namun Louisa Serene Schneider mengambil keputusan besar untuk melepaskan kerjayanya demi mengejar impian sendiri.

Bermula dari loteng rumahnya di Larchmont, New York, Amerika Syarikat (AS), Louisa kini pengasas syarikat menindik telinga, Rowan dan menjana pendapatan melebihi RM330 juta (AS$70 juta).

Dengan 90 buah studio di seluruh AS dan lebih 800 pekerja termasuk 500 pakar bertauliah selepas tujuh tahun menjalankan perniagaan. 

BACA LAGI: Wanita warga asing terus jejaki keluarga angkat di Kota Bharu, lebih 5 dekad terpisah

BACA LAGI: 'Syurga buatmu', guru hadiahkan murid-murid kasut sekolah baharu, ganti lusuh, koyak

Louisa Serene Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Rowan. — Agensi

Ideanya juga muncul daripada pengalaman peribadinya sendiri.

Pada awalnya, Louisa sedang mencari tempat yang selamat dan profesional untuk menindik telinga anak perempuannya. 

"Saya tidak mahu membawanya ke pusat membeli-belah atau kedai emas.

"Doktor kanak-kanak kami pula tidak menyediakan perkhidmatan menindik telinga," katanya.

Dengan berlatar belakang daripada keluarga bidang perubatan dengan kedua ibu bapanya merupakan doktor, Louisa melihat perkara itu sebagai bukan semata prosedur kosmetik.

Wanita berusia 48 tahun itu kemudiannya mengambil keputusan untuk mewujudkan perkhidmatan sama yang lebih selamat dan menyeronokkan.

Servis dari rumah

Tanpa modal yang besar, Louisa memulakan Rowan dengan konsep mudah dan memberi servis menindik telinga dari rumah ke rumah.

Dia juga merekrut jururawat bertauliah dengan bantuan seorang pensyarah kejururawatan di Universiti Columbia, New York.

Rowan kini menggaji lebih 500 jururawat terlatih dalam teknik menindik telinga. — Agensi

Louisa turut menawarkan pakej langganan bulanan berisi subang hypoallergenic yang tidak memiliki bahan berisiko memberi alahan pada kulit dengan harga sekitar RM95 (AS$20) sepasang.

"Ramai yang memperlekehkan idea saya. Ada yang kata saya gila.

"Tetapi saya yakin, ini adalah keperluan sebenar dalam pasaran," jelasnya.

Pada hujung 2018, Louisa membayar seorang pempengaruh media sosial, Beth Chappo untuk mempromosikan langganan subang Rowan.

Hasilnya, ratusan pesanan diterima dalam beberapa minit melebihi kapasiti penghantaran mereka ketika itu.

"Saya hubungi ibu bapa saya dan mereka memandu selama enam jam untuk bantu saya membungkus pesanan di loteng rumah.

"Tetapi, mencari modal adalah perkara paling sukar.

"Ramai pelabur lelaki tak nampak potensi pasaran ini kerana mereka tidak pernah menindik telinga, jadi mereka tak faham kepentingan pengalaman ini," ujarnya.

Namun, keyakinan Louisa tidak pernah goyah.

Jenamanya akhirnya berjaya meraih jualan sebanyak RM23.5 juta (AS$5 juta) antara 2018 hingga 2021.

Louisa memulakan Rowan sejak 2017 dari loteng rumahnya. — Agensi

Buka studio sendiri

Pada 2019, syarikat peruncitan terbesar di AS, Target menghubungi Louisa untuk melakukan kerjasama.

Hasil kerjasama itu sekali gus membawa kepada lebih 300 lokasi menindik telinga cawangan Target di seluruh Amerika.

Namun, menjelang 2022, Louisa memutuskan untuk menghentikan kerjasama tersebut dan memberi fokus sepenuhnya kepada studio milik sendiri.

Keputusan itu diambil kerana ia lebih menguntungkan dan menawarkan pengalaman berkualiti kepada pelanggan serta pekerjanya.

Antara kekuatan utama Rowan adalah pengambilan pekerja yang terdiri daripada jururawat bertauliah untuk melakukan proses menindik telinga.

Rata-rata jururawat hospital bekerja secara sambilan di Rowan bagi mendapatkan pengalaman lebih santai dan kreatif.

Seorang daripada jururawatnya, Daniela berkata, bekerja di Rowan dapat membawa kegembiraan kepada orang ramai.

Gaji jururawat di Rowan turut dianggarkan sekitar RM110 hingga RM140 sejam (AS$23 hingga AS$30), bergantung kepada lokasi studio dan belum termasuk tip (upah tambahan).

Kegembiraan pelanggan adalah kepuasan seluruh kakitangan Rowan. — Agensi

Kini, Rowan sedang dalam laluan untuk mencapai 100 studio menjelang akhir 2025 dan dijangka bakal menjana pendapatan lebih RM705 juta (USD150 juta) pada tahun tersebut.

Bagi Louisa, kejayaan sebenar bukan sekadar angka.

"Setiap kali saya melihat pelanggan tersenyum selepas menindik dan tepukan dan kegembiraan keluarga.

"Ketika itulah saya tahu kami berjaya. Ini benar-benar menunjukkan kegembiraan yang kami bawa kepada pelanggan," tambahnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram