Dari Pulau Kambing ke Chendering, PERTIMA catat sejarah dalam lebih 50 tahun perniagaan raih jualan tertinggi ketika PKP


  • Bisnes
  • Sabtu, 20 Sep 2025

Rangkaian produk PERTIMA yang kini dijual di dalam pasaran antarabangsa.

DITUBUHKAN sejak 28 Mac 1972, Pertima Trengganu Sdn Bhd atau lebih dikenali sebagai PERTIMA kini mengorak langkah dalam industri pemprosan makanan laut lebih lima dekad lamanya.

Syarikat milik penuh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) yang merupakan agensi pembangunan di bawah Kerajaan Negeri Terengganu.

Sehingga kini PERTIMA juga berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai satu-satunya kilang pengeluar sardin di Malaysia yang 100 peratus milik dan pekerjanya Melayu bumiputera semenjak penubuhannya.

BACA LAGI: Ada 8 model 'rat-walk', Ella dapat 'gaji' lebih RM10,000 jual seni unik

BACA LAGI: Pernah dihina kawan, wanita kampung kini usahawan berjaya, bina empayar produk kecantikan seluruh Indonesia

Sardin antara makanan mudah yang digemari rakyat Malaysia. — PERTIMA

Dari Pulau Kambing ke Chendering

Sejarah PERTIMA bermula di Pulau Kambing, Kuala Terengganu dan merupakan kawasan terkenal sebagai pusat perikanan ketika itu.

Di situlah sebuah kilang sardin kecil mula beroperasi, memanfaatkan hasil laut yang melimpah terutama spesies ikan tamban peluru.

Mengimbau kembali permulaan awal operasi perniagaan itu, Eksekutif Pemasaran dan Teknologi Informasi, Muhammad Hazwan Afiq Abu Bakar berkata, lambakan ikan di pulau tersebut menjadi sumber utama buat PERTIMA.

"Pada awalnya kami proses ikan sardin secara terus dari laut tetapi, lama-kelamaan bekalan terputus kerana ia bermusim.

"Selama 10 tahun kami beroperasi di Pulau Kambing dan pada 1979 berpindah ke sebuah kilang yang lebih besar di Chendering, Kuala Terengganu sehingga sekarang.

"Jika dikira, lebih 50 tahun kami menjalankan perniagaan ini kerana PERTIMA ini bukan sekadar jenama, tetapi menjadi antara sejarah industri makanan di Terengganu," katanya kepada Majoriti.

Muhammad Hazwan (kiri) ketika ditemui di Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) 2025 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur pada Khamis.

Sardin jadi produk ikonik

Tidak dapat dinafikan sardin yang dijual dalam tin dengan campuran sos tomato menjadi nadi utama buat PERTIMA.

Tersedia dalam tiga saiz berbeza, produk tersebut bagaiman sudah menjadi makanan ruji masyarakat Malaysia.

Kata Muhammad Hazwan, PERTIMA juga menawarkan ikan sardin berkualiti tinggi setanding jenama premium lain tetapi dengan harga lebih mesra pengguna.

"Sekarang kami ada 11 jenis produk sedia dimakan dan semuanya sudah dapat sijil Halal.

"Produk utama dan menjadi best seller adalah sardin kami. Setiap ikan sardin yang kami dapat dari pembekal di Sabah memang dibekalkan segar.

"Proses memilih ikan pula dibuat dengan sangat teliti daripada keluar lori sehingga ke pembungkusan.

"Setiap isi ikan kami pastikan tiada sebarang benda asing seperti ulat, tulang dan sebagainya sebelum dimasak dan disterilkan tanpa bahan pengawet," jelasnya.

Sebagai pengusaha tempatan, Muhammad Hazwan berkata, PERTIMA amat mempertimbangkan keadaan serta status para pelanggannya.

Justeru, harga yang dijual di pasaran juga mesra seluruh golongan rakyat terutama B40.

Produk makanannya dipasarkan dengan harga bermula serendah RM4.

Proses pembuatan sardin PERTIMA yang berkualiti. — PERTIMA

Catat jualan tertinggi di kala pandemik

Meskipun pandemik Covid-19 menjejaskan banyak perniagaan serta pendapatan rakyat Malaysia, PERTIMA muncul sebagai antara jenama paling melonjak naik dalam industri makanan.

Pada 2021, PERTIMA mencatat jualan tertinggi sepanjang sejarah 50 tahunnya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan jumlah mencecah RM20 juta.

Kejayaan itu bagaimanapun bukanlah diraih dengan usaha mereka sendiri, kata Muhammad Hazwan, ia dapat dicapai dengan bantuan ramai pihak.

"Sebenarnya sejarah itu terlakar apabila kami dapat banyak permintaan daripada pelbagai agensi bukan kerajaan (NGO) dan pusat kebajikan masyarakat untuk menyalurkan bantuan keperluan kepada penduduk.

"Disebabkan PKP kebanyakannya tak boleh keluar rumah, mereka inilah yang ambil inisiatif ambil makanan siap daripada kami untuk disalurkan," katanya.

 

 

 

 

Kini, produk PERTIMA bukan sahaja menembusi seluruh rangkaian pasar raya di seluruh Malaysia, malah turut menapak ke pasaran luar negara termasuk Brunei, Arab Saudi, China dan beberapa negara Timur Tengah.

Menurutnya, setiap negara mempunyai citarasa berbeza.

Ada yang mahu sardin dimasak bersama minyak zaitun dan sebagainya.

"Disebabkan itu, kami keluarkan beberapa rangkaian produk selain sardin seperti kari ayam, sambal bilis, puri tomato, kuah kacang, laksa dan seri kaya.

"PERTIMA juga ada kerjasama melalui OEM (Original Equipment Manufacturer) untuk menghasilkan produk di bawah jenama syarikat lain termasuk NGO dan jenama terkenal tempatan," ujarnya.

Dengan kedudukan keempat dalam pasaran tempatan terkini, PERTIMA secara tidak langsung membawa warisan negara ke persada dunia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram