
DAHULUNYA sering dihina kerana hidup dalam kemiskinan, siapa sangka kini beliau bangkit dan muncul sebagai figura inspirasi dalam dunia keusahawanan.
Sentiasa gigih berusaha dan tidak pernah berputus asa, Denok Salima Suparti berjaya membuktikan bahawa impian besarnya mampu direalisasikan.
Sejak kecil, wanita desa berasal dari Indonesia itu bertahan dengan kesempitan hidup sehingga terpaksa mencari sumber makanan daripada sisa tanaman di sawah.
BACA LAGI: 'Tak tangguh kerja', usahawan muda cari rezeki cipta arca konkrit seawal usia 6 tahun
BACA LAGI: Generasi baharu makin celik tradisi, ramai cakna makna di sebalik sambutan Hari Malaysia
Denok tidak berputus asa meneruskan hidup demi menggapai cita-citanya. — Agensi
"Waktu dahulu selepas pulang sekolah, saya sering kelaparan. Jadi, untuk bertahan hidup, saya cari makanan di sawah seperti sisa timun.
"Saya juga sering dipukul kawan-kawan hanya kerana berimpian menjadi pensyarah.
"Mereka kata 'kamu siapa? Kamu anak orang miskin, mana mungkin akan jadi pensyarah'," katanya.
Pun begitu, semangatnya tidak pernah padam untuk terus berusaha belajar meskipun tidak mampu membeli buku.
Mengimbau kembali detik pahit itu, Denok mendedahkan dia terpaksa meminjam buku seorang daripada kawannya dan mula menghafal satu demi satu mata pelajaran.
Berkat kesabarannya, Denok berjaya melanjutkan pengajian di institut perguruan bahkan pernah menetap seketika di Amerika Syarikat (AS).
Namun, sebelum kembali ke tanah air, satu peristiwa besar telah mengubah perjalanan hidupnya.
"Pada Ramadan 2010, saya tiba-tiba jatuh sakit. Berpuasa di AS tidak sama seperti di Indonesia kerana siangnya lebih panjang.
"Ketika itu, saya merasakan sakit luar biasa seperti masuk angin yang tidak kunjung reda.
"Selepas diperiksa, rupanya saya mengalami ileus iaitu keadaan di mana usus tersumbat," jelasnya.
Usahanya kini terbayar apabila kisahnya dikongsikan di media sosial. — Agensi
Dalam keadaan kritikal di hospital, Denok mengakui bahawa terasa terlalu sendirian.
"Di sana saya tiada sesiapa tetapi, servis kesihatan di AS sangat luar biasa.
"Jika saya terlambat dirawat satu atau dua jam sahaja, mungkin nyawa saya sudah melayang," ujarnya.
Selepas beberapa bulan menerima rawatan, Denok akhirnya kembali sembuh dan pulang ke Indonesia.
Mula membina kerjaya
Biarpun sudah terbiasa dengan kehidupan sederhana, Denok tetap berusaha membina kerjayanya.
Bermula dengan bekerja di sebuah syarikat pemasaran rangkaian penjagaan kesihatan sehingga mampu menjana pendapatan mencecah jutaan Rupiah.
Kejayaan itu bagaimanapun masih memberi rasa kekosongan terhadap dirinya.
"Pendapatan memang tinggi, tetapi cepat habis. Saya rasa ada sesuatu yang hilang dan hati saya tidak tenang.
"Jadi, saya memutuskan untuk berdikari dan mula membina jenama perniagaan sendiri dalam industri kecantikan termasuk produk kesihatan seperti susu kambing," katanya.
Denok percaya bahawa perniagaan bukanlah sekadar mencari keuntungan, tetapi memberi manfaat kepada masyarakat.
Katanya, pengalaman di AS secara tidak langsung mempengaruh pola pemikirannya apabila rakyat negara itu lebih cenderung membeli produk buatan tempatan.
Hal yang sama juga dilihat pada rakyat Jepun dan China yang lebih mengutamakan produk buatan negara mereka.
Etawagen menjadi jenama yang banyak memberi manfaat kepada orang ramai. — Agensi
Sehinggakan Denok berharap agar masyarakat Indonesia juga mempunyai kebanggaan yang sama terhadap produk dalam negeri dan tidak selalu mengutamakan barang import.
Denok pada masa sama bekerjasama dengan kilang yang diyakini untuk menghasilkan krim wajah, minuman kolagen dan memproses susu kambing jenamanya, Etawagen.
"Saya mahu jual sesuatu yang bermanfaat. Kalau produknya berkat, Insya-ALLAH jalannya dimudahkan.
"Bisnes bukan hanya menjual produk. Ia juga tentang memberi ilmu, motivasi dan semangat supaya orang lain turut sihat dan berjaya," tambahnya.
Kini, perniagaan Denok berjaya mencatat jualan sekitar RM50,000 (RP200 juta) sebulan malah, pernah mencecah RM500,000 (RP2 bilion) dalam tempoh lapan bulan.
Pendapatan itu bukan sahaja mengubah hidupnya tetapi mampu menampung kos pendidikan anaknya di luar negara serta membuka peluang pekerjaan.
"Dahulu saya makan sisa sayuran di sawah, sekarang saya boleh bantu orang lain.
"Itu kebahagiaan terbesar bagi saya," ujarnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram