
KERAJAAN mengesan sekurang-kurangnya 100 kes salah guna bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akibat kehilangan kad pengenalan (MyKad).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pada Isnin, pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan menyahaktifkan MyKad yang dilaporkan hilang atau dicuri.
Akan tetapi, wang pemberian RM100 untuk SARA itu masih boleh digunakan jika ia tidak dinyahaktifkan serentak kerana sistem tersebut di bawah kendalian Kementerian Kewangan.
BACA LAGI: Pemilik bisnes belanja wang SARA bantu individu memerlukan, bahagia lihat orang lain gembira
BACA LAGI: Bantuan SARA RM100 jadi modal anak gadis berniaga kek batik indulgence, tiramisu di Bangi
"Apabila MyKad dilaporkan hilang atau dicuri, Jabatan Pendaftaran Negara akan menyahaktifkan kad secara serta-merta pada sistem mereka.
"Namun, Kementerian Kewangan menguruskan satu sistem berasingan, yang memerlukan penyegerakan (synchronisation) dengan pangkalan data JPN.
"Jika perkara itu tidak berlaku serentak, MyKad yang sudah dinyahaktif mungkin masih boleh digunakan untuk tuntutan atau transaksi (menerusi sistem Kementerian Kewangan)," ujarnya.
Tambah Saifuddin, usaha dilakukan untuk pihak kerajaan bagi memastikan tiada lagi insiden sama di masa depan.
Kehilangan MyKad merupakan satu perkara yang serius dan kerajaan akan berusaha untuk memastikan ada penambahbaikan yang boleh dilakukan.
"Semua langkah yang dirasakan perlu sudah diambil untuk memastikan ia tidak berulang lagi. Kedua-dua sistem diperhatikan secara rapi untuk mengelak perkara sama berulang.
"Sebagai sebahagian daripada penambahbaikan, penyahaktifan MyKad akan turut berjalan di pangkalan data lain bagi memastikan sebaik sahaja kad dinyahaktifkan, penggunaannya disekat.
"Langkah ini dijangka dapat mengelakkan penyalahgunaan kad yang telah dinyahaktifkan, termasuk percubaan untuk mendapatkan akses tanpa kebenaran ke fasiliti atau perkhidmatan," jelasnya. — The Star/FARIK ZOLKEPLI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram