'Dulu cantik, kini macam rumah tinggal', wanita berpesan jangan simpati 100 peratus lepas kecewa dapat penyewa dari neraka


  • Hias
  • Isnin, 22 Sep 2025

Keadaan rumah Hunny seperti rumah tinggal kerana perbuatan penyewa dari neraka.

MENJADI tuan rumah kepada rumah sewa bukannya mudah kerana ada masanya perlu berdepan dengan pelbagai ragam penyewa.

Jika memiliki penyewa yang baik dan berdisiplin, kuranglah ragamnya namun bagaimana pula dengan mereka yang tidak bertanggungjawab?

Menurut perkongsian wanita dikenali sebagai Hunny Mahadi, dia tidak menyangka terpaksa berdepan "penyewa dari neraka" di rumah yang disewakannya.

BACA LAGI: Formula 3-5-7 rahsia rumah cantik, panduan hias kediaman agar nampak lebih kemas, terancang

BACA LAGI: Remaja 13 tahun bina sarang lebah hias bilik

Menurut Hunny menerusi coretan di Facebook, dia bukan saja berdepan penyewa yang lewat membayar sewa bulanan, malah tidak menjaga kebersihan rumah.

Penyewa tersebut membiarkan rumahnya dipenuhi dengan lipas dan najis kucing sambil langsir berbau hancing.

Malah, vinyl lantai tercabut serta wallpaper pada dinding turut koyak.

Penyewa tersebut turut menukar mangga rumahnya untuk mengelakkan Hunny daripada memasuki rumah tersebut.

Lebih teruk, penyewa tersebut menipunya dengan mencagarkan kereta ayahnya sendiri walaupun sebenarnya dikatakan adalah miliknya.

"Cagar kereta ayah sendiri (mengaku dia punya) bila dah tak mampu bayar, pusing cerita rupanya ayah sendiri pun tak tahu menahu. Siap kami pulak kena ugut pulang balik kereta kalau tak ayah dia nak laporkan pada polis kereta kena curi," katanya.

Antara najis binatang yang dibiarkan berterabur oleh penyewa.

Hunny turut mengatakan yang penyewa tersebut turut meminta diskaun sewa rumah kerana kontraknya adalah dua tahun.

Penyewa tersebut sudah pun diusir namun menurut Hunny, dia terpaksa menanggung belanja yang terlalu banyak kerana kerosakan yang dilakukan.

"Paling tak masuk akal, siap minta diskaun sewa rumah sebab katanya kontrak dua tahun, padahal tak sampai setahun dah mula tak bayar sewa lebih tiga bulan.

"Rumah yang dulu cantik, sekarang macam rumah tinggal! Lepas diusir pun saya yang kena keluar duit baiki semua," ujarnya.

Hunny kemudiannya mengingatkan para tuan rumah untuk tidak terlalu percaya kepada bakal penyewa, lebih-lebih lagi jika mereka memberikan 'drama' air mata.

"Nasihat saya pada semua tuan rumah, jangan lembut hati sangat, jangan percaya 100 peratus pada air mata simpati. Tapis penyewa betul-betul, sebab kalau silap pilih, beginilah jadinya.

"Semoga ini jadi pengajaran untuk semua," ulasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram