
PENGHARGAAN Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjumlah RM100 yang diberikan kerajaan kepada warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas baru-baru ini mendatangkan banyak manfaat.
Ada yang berbelanja barangan keperluan asas untuk keluarga, malah tak kurang yang menginfakkan barang tersebut kepada golongan lebih memerlukan.
Tidak terhenti di situ, ada juga yang menggunakan penghargan SARA RM100 sebagai modal memulakan perniagaan kecil-kecilan.
BACA LAGI: Rak khusus barangan SARA mudahkan pengguna, elak item kena letak tepi di kaunter bayaran
Kek tiramisu yang dihasilkan oleh anak perempuan Farraheeda. — Threads
Seorang pengguna Threads, Farraheeda, berkongsi kisah anak perempuannya yang menggunakan bantuan SARA tersebut sebagai modal perniagaan sempena cuti semester.
"Kalau cuti semester yang agak lama, dia akan bekerja di bakeri untuk cari pengalaman. Kadang-kadang ada juga masa cuti semester, dia ambil tempahan buat tiramisu, brownie dan sebagainya," katanya kepada Majoriti.
Farraheeda memberitahu, dengan sumbangan RM100 SARA, anaknya dapat menjadikan bantuan itu sebagai modal bisnes dessert sementara cuti semester.
"Selalunya cuti panjang mesti kerja, tapi kali ini sebab cuti semester pendek, dia pilih buat dessert ringkas saja,” katanya.
Menurutnya, anaknya memilih untuk menjual kek batik indulgence dengan membeli barang keperluan yang termasuk dalam kategori layak seperti biskut marie, Milo dan susu.
"Dia nak buat kek batik indulgence, (dengan duit SARA), dapat berbungkus-bungkus biskut marie, milo dan susu.
"Saya sebagai mak sponsor duit bekas saja.. bagi dia semangat cari duit sendiri.
"Memang dia pun bercita-cita untuk buka kafe sendiri suatu hari nanti," katanya lagi sambil memberitahu anaknya mengikuti Diploma Pastri di Food Institute of Malaysia di Petaling Jaya.
Perkongsian itu menerima respons positif warga maya yang menyifatkan langkah tersebut sebagai satu permulaan bijak.
“Kadang-kadang ada orang tak ada modal nak mula niaga. Ini permulaan yang baik. Kalau laku, boleh rolling modal.
"Kalau tak jadi pun tak rugi sebab modal free. Apa-apa pun semoga dipermudahkan urusan jualan,” kata seorang pengguna Threads lain, shee_rawr.
Seorang lagi pengguna, Imanjannah22, turut berkongsi pengalaman bertemu individu yang menggunakan bantuan STR dan SARA sebagai modal berniaga nasi lemak.
Penghargaan SARA kepada 22 juta pemegang MyKad warganegara Malaysia disalurkan pada 31 Ogos lalu sempena Hari Kebangsaan.
Secara keseluruhan sejak lima hari pelaksanaannya, lebih 6.6 juta rakyat Malaysia atau 30 peratus daripada jumlah penerima membeli barangan keperluan asas menggunakan kredit Penghargaan SARA dan SARA dengan jumlah perbelanjaan rakyat mencecah RM425.2 juta di seluruh negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram