
PEMBERIAN Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjumlah RM100 kepada seluruh masyarakat Malaysia sedikit sebanyak meringankan beban terutama individu memerlukan.
Meskipun ia diberikan bagi memenuhi barang keperluan rumah, tidak semua orang menggunakan bantuan tersebut untuk diri sendiri.
Sama seperti seorang wanita juga pemilik perniagaan makanan ringan jenama Kunyahan, Fatein Azrin, 33, yang memanfaatkan wang tersebut membantu orang lain.
BACA LAGI: FOMO punca utama anak muda terjebak budaya buli, bimbang dipulaukan, tekanan rakan sebaya
BACA LAGI: Geram dicurangi, isteri 'belanja' RM30,000 duit suami, jalani bariatrik, beli kereta baharu
"Orang lain berebut di pasar raya untuk guna SARA. Jadi, saya dengan kawan-kawan pun kategori bujang gembira bila dapat.
"Kita tak banyak komitmen sangat, jadi saya selalu fikir macam mana pula dengan keluarga ada anak kecil atau warga emas," katanya.
Menerusi video dikongsikannya di TikTok baru-baru ini, wanita tersebut turut menawarkan diri untuk membayar beberapa barangan pelanggan di sebuah pasar raya.
Seorang lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) berkerusi roda juga antara individu dibantunya.
"Terkejut bila tengok ramai sebenarnya tak berkemampuan. Dah ambil susu tetapi tak boleh bayar," luahnya.
Tindakannya sekali gus menerima pujian ramai warganet yang tersentuh dengan keprihatinan itu.
Rata-rata menyifatkan langkahnya bukan sahaja membantu meringankan beban orang lain, malah memberi teladan bahawa bantuan SARA boleh dimanfaatkan dengan lebih bermakna. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram