
KETUA warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Papar, Sabah, Azhari Abd Sagap mendedahkan yang dia tidak mengetahui terdapat kecederaan pada badan Zara Qairina Mahathir sewaktu dia mengarahkan pelajar mengangkat badannya.
Memetik laporan Buletin TV3, dalam inkues pelajar tingkatan 1 itu, Azhari mengaku kepada Mahkamah Koroner yang dia mengarahkan agar badan Zara diangkat sebaik saja dia menemuinya terbaring di tingkat bawah blok asramanya.
Ketika itu, dia mengarahkan tiga pelajar lain termasuk pegawal keselamatan dikenali sebagai Mak Cik Linah untuk mengangkat bada Zara pada tengah malam 16 Julai.
BACA LAGI: Inkues kematian Zara Qairina ditangguhkan, maklumat saksi kanak-kanak bocor di media sosial
BACA LAGI: Warden sahkan perpindahan pelajar ada kaitan kes Zara Qairina, tapi punca tak diketahui
“Semasa di longkang, saya nampak pelajar yang mengangkat, empat orang termasuk Mak Cik Lina keberatan pada masa itu, sebelum saya sambut bersama dua pelajar.
“Semasa saya sampai, saya tidak nampak kecederaan Zara, selepas diangkat baru saya nampak kecederaan Zara. Saya nampak kecederaan Zara pada bahagian kaki kiri, itu saja saya nampak pada masa itu dan kalau di tempat saya berada.
“Saya tidak nampak Zara jatuh dari mana sebab pada masa itu bajunya sudah diturunkan dan saya tidak nampak tangan di longkang seperti dalam gambar,” katanya kepada Pegawai Pengendali, Mohd Fairuz Johari pada Jumaat.
Saksi kelapan inkues itu menyatakan yang Zara meminta agar dia dibawa terus ke hospital, namun Azhari tidak menurutkannya kerana tubuh pelajar itu yang berat.
Azhari kemudiannya membawa Zara ke sebuah bilik terletak di sebelah rumah warden, kira-kira 20 meter dari tempat pelajar itu ditemui.
“Sebab itulah saya bawa (ke bilik) sebelah rumah warden. Di tempat terlindung dan rata dan saya tidak letak begitu saja, saya alas dengan kain pelikat, baru letak dengan hati-hati,” ujarnya.
Fairuz juga menyoal Azhari kenapa Zara tidak dibawa ke bilik sakit yang lebih dekat berbanding bilik sebelah rumah warden.
Kata Azhari, bilik itu baru saja diwujudkan sebagai bilik sakit dengan ia didiami oleh ketua pelajar asrama perempuan serta beberapa pelajar lain.
“Saya yang angkat sendiri pun trauma, kalau saya letak sana ahli bilik juga akan jadi trauma,” jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram