Ramai tak tahu rupanya boleh beli stok makanan tak habis pada harga diskaun di Value Food, ReMeal


  • Bisnes
  • Jumaat, 19 Sep 2025

Aplikasi Value Food dapat membantu mengelakkan pembaziran menerusi jualan lebihan makanan pada harga diskaun.

DI banyak negara maju, aplikasi seperti Too Good To Go dan Food Mystery Bag semakin mendapat perhatian kerana berjaya mengurangkan pembaziran makanan.

Menariknya, konsep serupa kini sudah tiba di Malaysia menerusi aplikasi Value Food, walaupun liputannya masih terhad sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Idea utama di sebalik pembangunan aplikasi itu ialah restoran, kafe atau bakeri akan menawarkan lebihan stok harian pada harga lebih rendah. 

Dengan cara ini, restoran dapat mengurangkan kerugian daripada makanan tidak terjual, sekali gus menurunkan kos pengurusan sisa.

BACA LAGI: Bantuan SARA RM100 jadi modal anak gadis berniaga kek batik indulgence, tiramisu di Bangi

BACA LAGI: Cendol Teochew Penang pikat selera warga Taiwan, cawangan global ke-2 lepas Singapura

Pelanggan pula dapat menikmati makanan berkualiti pada harga diskaun yang jauh lebih murah daripada harga asal.

"Konsepnya ialah produk makanan akan dijual pada harga lebih murah untuk menghabiskan stok berbaki.

"Cara ini bukan sahaja mengurangkan kerugian, malah menjimatkan kos pengurusan sisa. Saya rasa lebih menarik kalau lebih banyak restoran guna aplikasi seperti Value Food. Pasti ramai yang akan tertunggu restoran mana buat penawaran," kongsi pengguna Threads, Zeedaaziz.

Katanya, ia juga sekali gus menjadi satu bentuk pengiklanan yang baik kepada pengusaha restoran.

"Dari tak tahu restoran atau kafe tu wujud, jadi tahu. Malah pelanggan mungkin akan jadi regular customers sebab mereka suka dengan produk yang diterima," ujarnya.

Sementara itu, seorang pengguna Threads, Wanricooo berkata, berbaloi membuat pembelian makanan di Value Food kerana harga jauh lebih murah daripada asal.

"Cuma kuantiti terhad. Pelanggan perlu collect pukul 7 petang mengikut lokasi dan liputannya di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor," katanya.

Seorang lagi pengguna Threads, Natulisback berkongsi selain aplikasi Value Food, ReMeal juga menawarkan jualan makanan berlebihan pada harga diskaun.

"Saya selalu tengok YouTuber di Amerika Syarikat buat reviu seperti ini. Ingat di Malaysia tiada. Terima kasih kerana kongsikan info ini," komen nez2806.

"Saya dah guna aplikasi ini. Best sebab dapat beli donut edisi khas," kata Nuwhidd.

Ternyata, konsep yang bermula di luar negara itu boleh mendapat sambutan yang baik jika disokong dengan sedikit promosi dan kesedaran pengguna.

Aplikasi seperti Value Food dan ReMeal mampu menjadi platform penting bukan sahaja dalam menangani isu pembaziran makanan, malah sebagai medium pemasaran baharu untuk perniagaan makanan.

Akhirnya, ia membuktikan bahawa setiap usaha kecil menyelamatkan makanan bukan sekadar menjimatkan wang, tetapi juga memberi impak besar terhadap alam sekitar dan komuniti. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram