Tinggalkan kerjaya 'oversea', bekas akauntan 'orang kuat' di sebalik gerai pan mee 'viral' TTDI


  • Bisnes
  • Khamis, 18 Sep 2025

Chua yang menjadikan neneknya sebagai inspirasi memilih nama Chai Cha Teh yang bermaksud teh. — The Star/ YAP CHEE HONG

DI sebalik deretan pelbagai gerai di pasar basah Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur, terdapat sebuah kedai makan yang menawarkan hidangan Cina mesra Muslim.

Menu seperti pan mee menjadikan gerai Chai Cha Teh, 'viral' dan cukup popular di media sosial hingga tidak henti-henti dikunjungi pengunjung yang mahu merasai keenakan juadah tersebut.

Pada hari bekerja, orang sudah beratur panjang seawal pukul 11 pagi dan pengunjung perlu datang lebih dulu untuk mengelak kesesakan.

Dikendalikan oleh Chua Chai Chuan, gerai Chai Cha Teh sudah beroperasi hampir satu dekad dan kuasa media sosial mampu menjadikannya lebih berdaya tahan.

BACA LAGI: Kuantan lokasi pertama Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia, tawar hadiah RM5,000 dan pakej percutian istimewa

BACA LAGI: Pinjaman peribadi punca ramai bankrap, Selangor, KL dan Johor rekod kes paling tinggi

Street grub interview at Chai Cha Teh@ TTDI market, Kuala Lumpur. — YAP CHEE HONG/The Star

Chua meminati bidang masakan sejak kecil lagi. — The Star/ YAP CHEE HONG

Pada awal pembabitannya dalam perniagaan, Chua memulakan bisnes makanan dengan menjual otak-otak serta pes masakan. 

Pelanggan yang tertarik dengan produk tersebut kemudian meminta untuk mencuba masakannya.

Jadi, pada tahun 2016, dia akhirnya membuka Chai Cha Teh.

Chua berkata, nama Chai Cha Teh, yang bermaksud teh dalam bahasa Hindi (chai), Kantonis (cha) dan Melayu (teh) dipilih kerana dia menggunakan teh dalam kebanyakan masakannya.

“Saya sangat suka teh dan menggunakannya dalam masakan benar-benar menambah kelazatan yang tidak dapat digantikan dengan perasa lain,” katanya.

Dibesarkan dalam keluarga yang suka makan, Chua berkata, dia mendapat inspirasi daripada nenek yang menyediakan makanan setiap hari untuk keluarga besar seramai lapan orang.

Street grub interview at Chai Cha Teh@ TTDI market, Kuala Lumpur. — YAP CHEE HONG/The Star

Hidangan pan mee yang 'viral' dan menjadi kegemaran ramai. — The Star/ YAP CHEE HONG

Dia memang meminati dunia masakan sejak kecil dan sanggup berhenti kerja sebagai akauntan di luar negara demi mengejar impiannya itu.

“Walau apa jua kerjaya yang anda ceburi, hati anda akan sentiasa mahu kembali kepada minat,” kata Chua.

Dia juga memilih untuk memasak secara sihat dan bersih, selain mengelakkan penggunaan penyedap rasa.

“Jadi segala-galanya dimasak dari awal, termasuk sup dan minyak cili,” ujarnya.

Menurut Chua, makanan yang diproses secara berlebihan tidak sesuai untuk dimakan setiap hari.

“Saya hanya mahu menyajikan makanan berkualiti terbaik kepada pelanggan,” katanya.

Antara hidangan kegemaran ramai ialah pan mee (RM9), yang boleh didapati dalam versi sup dan kering.

Gerai itu juga menjual mi udang (RM10) dan laksa kari (RM9).

Street grub interview at Chai Cha Teh@ TTDI market, Kuala Lumpur. — YAP CHEE HONG/The Star

Nasi ayam Hainan juga tidak kurang popular dan sering mendapat permintaan pelanggan. — The Star/ YAP CHEE HONG

Chua berkata, dia akan merebus kepala dan kulit udang segar bersama kuah selama lebih empat jam untuk memberikan rasa yang lebih kuat.

Bagi yang lebih suka hidangan berat, ada nasi ayam Hainan (RM12) yang disajikan dengan ayam rebus tradisional, nasi berperisa dan sambal cili masam manis.

Selain itu, terdapat juga menu Hainanese Chicken Chop (RM16).

Untuk minuman, teh herba dan teh bunga (RM4 setiap satu) adalah pilihan yang menyegarkan dan kurang manis yang sesuai dipadankan dengan pan mee cili pedas.

Jika anda memerlukan minuman berkafein, kopi ais dan teh tarik (RM3 setiap satu) juga tersedia untuk melengkapkan hidangan anda.

Chai Cha Teh terletak di Lot TS-059, tingkat satu, pasar basah TTDI di Jalan Wan Kadir.

Gerai tersebut dibuka dari Selasa hingga Ahad, pukul 6 pagi hingga 1.30 petang. — The Star / ASHIQIN AHMAD

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram