
BERMULA dengan sebuah gerai tolak kecil pada tahun 1936, perniagaan cendol keluarga Tan Ching Ling kini berkembang menjadi jenama global selepas berjaya menembusi pasaran Singapura dan Taiwan.
Perniagaan cendol Teochew Pulau Pinang berusia 89 tahun itu meluaskan sayapnya ke Taipei menerusi pembukaan cawangan pada 1 September lalu.
Ia merupakan cawangan antarabangsa kedua selepas pembukaan outlet pertama di Singapura tahun lalu.
BACA LAGI: Sewa stor, tapak glamping antara bisnes Uncle Sam makin laku di Malaysia
BACA LAGI: Rak khusus barangan SARA mudahkan pengguna, elak item kena letak tepi di kaunter bayaran
Di Malaysia, juadah ais kisar bersama santan dan gula melaka yang cukup menyegarkan itu menjadi tumpuan wajib penduduk tempatan dan pelancong di Jalan Penang, George Town.
Sebagai generasi keempat, Chin Ling, 42, berkata, keputusan mengembangkan perniagaan ke Taiwan bukanlah sesuatu yang mudah.
“Kami menjalankan tinjauan pasaran selama beberapa bulan untuk memahami cita rasa pencuci mulut di Taiwan.
“Mujurlah, kami mendapati selera mereka hampir sama dengan komuniti Cina di Pulau Pinang.
“Semasa percubaan di sana, mereka terus menggemari cendol kami,” katanya.
Chin Ling berkata, adik dan kakak serta abang iparnya turut berangkat ke Taipei untuk majlis pembukaan, disertai pasukan seramai 15 orang yang terdiri daripada warga Malaysia dan Taiwan.
“Bagi mengekalkan keaslian, kami masih membawa masuk beberapa bahan seperti kacang dan gula perang dari Pulau Pinang.
“Manakala bahan lain termasuk jeli hijau berperisa pandan disediakan secara segar di Taipei,” jelasnya.
Menurut Chin Ling, kisah cendol keluarganya bermula dengan datuknya yang sudah meninggal dunia, Tan Teik Fuang.
Mendiang yang mula menjual pencuci mulut itu menggunakan gerai tolak di Jalan Penang pada tahun 1936.
Sejak beberapa dekad lalu, ia menjadi jenama terkenal, terutama kerana keenakan gula melaka, santan pekat dan jeli hijau beras pulut yang lazat.
Chin Ling menjelaskan, Singapura dipilih sebagai langkah pertama kerana jaraknya yang dekat, namun Taiwan dianggap langkah berani untuk menembusi pasaran Asia yang lebih luas.
“Sasaran kami seterusnya ialah China, yang mempunyai permintaan besar terhadap pencuci mulut manis,” katanya.
Selain cendol, outlet di Taipei juga menawarkan hidangan kegemaran Pulau Pinang lain seperti kuetiau goreng, mi udang Hokkien dan asam laksa, bagi memperkenalkan budaya makanan jalanan negeri itu kepada masyarakat Taiwan.
Kini, keluarganya mengendalikan lebih 50 outlet cendol di seluruh Malaysia, dengan Kuala Lumpur dan Johor menyumbang bahagian terbesar iaitu masing-masing 20 outlet.
Di Pulau Pinang, mereka mempunyai cawangan di Jalan Penang, Gurney Plaza, Queensbay Mall dan Sunway Carnival di Seberang Jaya.
Menurut Chin Ling, gerai-gerai di Pulau Pinang menarik kunjungan besar pelancong dari Indonesia dan Thailand, diikuti India serta China pada musim cuti.
“Tidak kira sejauh mana kami berkembang, jiwa dan identiti cendol ini tetap akan kekal di Pulau Pinang,” katanya. — The Star/ R. SEKARAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram