
MAHKAMAH Koroner menangguhkan siasatan kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir selepas maklumat sulit mengenai seorang saksi kanak-kanak tersebar di media sosial.
Koroner Amir Shah Amir Hassan menyatakan kekecewaannya terhadap kebocoran maklumat itu kerana ia menyebabkan gangguan dan penangguhan terhadap prosiding yang sudah memasuki hari ke-10 pada Jumaat.
"Saya rasa ini juga satu peringatan yang perlu diberi kepada orang awam kerana apabila berlaku kebocoran atau gangguan, ia pasti menjejaskan perjalanan inkues.
BACA LAGI: Warden sahkan perpindahan pelajar ada kaitan kes Zara Qairina, tapi punca tak diketahui
BACA LAGI: Ibu Allahyarham Zara Qairina tolak bedah siasat walau sudah diberi penjelasan — Doktor
"Inilah yang berlaku hari ini. Kini, saksi berasa terancam akibat tindakan tidak bertanggungjawab oleh pihak tertentu. Saya pun tidak tahu siapa.
"Saya sangat kecewa, tetapi tiada pilihan. Jadi, kita akan sambung semula prosiding inkues ini pada Isnin ini," katanya.
Amir Shah turut mengarahkan peguam, Datuk Ram Singh untuk mengambil langkah segera dengan membuat laporan polis supaya pihak berkuasa boleh mengambil tindakan sewajarnya terhadap sebarang pelanggaran yang berlaku.
Ram yang mewakili saksi kanak-kanak terbabit dikenali sebagai pelajar A, mendedahkan maklumat itu tular sebelum sempat ia dibentangkan di Mahkamah Koroner.
Amir Shah berkata, prosiding pada Isnin ini akan dijalankan secara tertutup membabitkan saksi kanak-kanak yang akan ditempatkan di bilik saksi.
Beliau berkata, bagi prosiding secara tertutup (in camera) mengikut Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak, saksi akan berada di bilik khas, dibantu seorang jurubahasa dan seorang 'pendamping' pilihan mereka.
"Namun, pendamping ini tidak boleh daripada individu yang berpotensi menjadi saksi. Jika dia berpotensi menjadi saksi, maka individu lain perlu dilantik, sebaiknya dari kalangan waris terdekat.
"Dari segi susunan tempat duduk, kanak-kanak itu akan berada di hadapan kamera, manakala pendamping di belakang tetapi masih kelihatan dalam rakaman kamera," katanya.
Mahkamah Koroner juga membenarkan pegawai undang-undang daripada Kementerian Pendidikan (KPM) dan Sabah Law Society untuk turut hadir dalam prosiding itu.
Sementara itu, pada sidang media selepas itu, Ram berkata, pasukannya amat kecewa kerana banyak persiapan sudah dilakukan, namun kenyataan saksi sudah bocor.
Beliau berkata, hanya dua perenggan pertama dan perenggan terakhir yang memerlukan tandatangan sudah tersebar di media sosial.
"Kami juga menerima semua nama (lima nama juvana yang didakwa dalam kes berkaitan Zara) dengan tumpuan khusus kepada anak guam saya.
"Perkara itu tidak sepatutnya berlaku. Bagi saya, ini satu bentuk intimidasi. Pegawai pendakwa juga memaklumkan perkara ini akan disiasat.
"Saya turut bersimpati dengan ibu bapa kanak-kanak itu kerana mereka perlu melalui keadaan ini," katanya sambil menambah saksi kanak-kanak itu menangis ketika pasukannya bertanya sama ada dia masih mampu memberi keterangan hari ini. — The Star/STEPHANIE LEE
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram