
SEORANG daripada rakan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir yang dikaitkan dengan insiden pelajar Tingkatan 1 itu ditemukan tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu sudah berpindah sekolah, memetik laporan Berita Harian.
Perkara itu disahkan oleh saksi kelapan, Ketua Warden Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Azhari Abd Sagap ketika ditanya peguam mewakili ibu Allahyarhamah, Shahlan Jufri pada prosiding inkues kematian Zara Qairina di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan pada pagi Khamis.
Azhari mengiyakan perpindahan pelajar terbabit yang dinamakan sebagai 'A', namun mengaku tidak mengetahui punca atau alasan pelajar berkenaan berpindah daripada sekolah terbabit.
BACA LAGI: Ibu Allahyarham Zara Qairina tolak bedah siasat walau sudah diberi penjelasan — Doktor
Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri di tepi longkang berhampiran asrama sekolah tersebut.
Beliau juga menjelaskan bahawa bukan bidang tugasnya membuat keputusan mengenai perpindahan pelajar walaupun Kementerian Pendidikan (KPM) difahamkan membekukan perpindahan pelajar.
Shahlan: Saya difahamkan pelajar A sudah pindah sekolah?.
Azhari: Ya.
Shahlan: Jadi, pelajar yang masih sekolah di sana ialah B, C, D dan E?
Azhari: Ya, betul.
Shahlan: Saya difahamkan selepas kejadian Zara, KPM membekukan pemindahan pelajar ke sekolah lain. Bagaimana pelajar A pindah sekolah?.
Azhari: Itu bukan bidang tugas saya.
Shahlan: Cikgu tahu bila pelajar A pindah sekolah?.
Azhari: Tidak ingat, beberapa minggu selepas kejadian.
Shahlan: Mengikut kefahaman saya, untuk pindah sekolah kita mesti sertakan alasan untuk pindah, adakah kamu tahu apa alasan pelajar A pindah sekolah?.
Azhari: Saya tidak tahu.
Shahlan: Adakah cikgu tahu bagaimana proses pindah sekolah ke sekolah lain?.
Azhari: Ada isi borang tiga untuk mohon pindah sekolah.
Shahlan: Selalunya ambil masa berapa lama?.
Azhari: Selesai semua dokumen boleh proceed (teruskan).
Shahlan: Berapa lama permohonan itu diluluskan?
Azhari: Itu saya tidak tahu, bukan bidang tugas saya.
Saksi kelapan dalam inkues kematian Zara Qairina memaklumkan bahawa pihak sekolah hanya mengambil keterangan dan memberikan sesi kaunseling kepada empat pelajar yang dikenal pasti sebagai B, C, D dan E susulan kejadian yang berlaku pada 15 Julai lalu.
Perkara itu merujuk kepada pertemuan antara Allahyarhamah Zara Qairina dengan beberapa pelajar lain termasuk empat pelajar tersebut berhubung dakwaan mencuri yang timbul ketika itu.
Azhari turut mengesahkan keempat-empat pelajar terbabit masih tinggal di asrama sekolah selepas insiden berkenaan, yang disusuli penemuan Zara Qairina dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 16 Julai.
Bagaimanapun, menurutnya, pelajar E yang merupakan ketua bilik ketika itu telah berpindah keluar dari bilik berkenaan selepas insiden kerana mengalami trauma.
"Sekarang pelajar E bukan lagi ketua bilik. Dia maklumkan kepada kami bahawa dia trauma dan tidak boleh menginap di bilik itu lagi," jelas Azhari.
Beliau menambah, tiga lagi pelajar iaitu B, C dan D masih menginap di bilik yang sama sehingga kini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram