
KERAJAAN bakal membuat pelaksanaan subsidi RON95 secara bersasar pada harga RM1.99 seliter kepada seluruh rakyat Malaysia yang berkelayakan.
Golongan yang tidak layak menikmati subsidi petrol itu akan dikenakan harga pasaran penuh selaras dengan konsep harga dua peringkat.
Bergerak ke arah pelaksanaan itu, difahamkan satu sistem khas menggunakan MyKad akan digunakan sebagai pengesahan dan dijangka dilaksanakan sepenuhnya selepas sesi latihan serta pemasangan peralatan di stesen minyak selesai.
BACA LAGI: Ramai tak tahu rupanya boleh beli stok makanan tak habis pada harga diskaun di Value Food, ReMeal
BACA LAGI: [VIDEO] Pastikan MyKad berfungsi untuk nikmati subsidi petrol — Saifuddin Nasution
Belum pun dilaksanakan lagi tetapi sudah ada cakap-cakap kononnya pelanggan terpaksa beratur panjang di kaunter stesen minyak kerana keperluan mengesahkan MyKad bagi menyemak kelayakan subsidi.
Ia sedikit sebanyak mungkin didorong oleh pengalaman baru-baru ini tatkala berlaku masalah gangguan terminal ketika orang ramai membuat pembelian di pasar raya menggunakan Penghargaan SARA RM100 one-off.
"Aku boleh bayangkan dah berapa lama kena beratur nak claim subsidi RON95 ini. Itu belum kira kalau terminal problem, internet lambat, chip MyKad rosak lagi.
"Why not build centralized system (sistem berpusat) untuk subsidi? Kenapa nak kena ada Budi lMadani, SARA, MyKasih semua.
"Buat saja semua centralized. Rakyat apply guna aplikasi. Nak claim, contoh Mydin ke Petronas ke apa contohnya, (pelanggan) buka app, pilih nak guna subsidi apa, scan QR. Simple," komen pengguna Threads, firdausizam89.
"Kalau kena physically pergi kaunter cashier bagi IC MyKad untuk dapatkan RON95 harga RM .99, aku lagi sanggup bayar RM2.05 kalau tak perlu beratur," komen pula Raimansalam.
Difahamkan terdapat alat baharu bakal digunakan bagi pelaksanaan sistem subsidi bersasar petrol RON95 dengan ia sudah diterima pihak stesen minyak.
Pembekal juga kini sedang melatih pekerja stesen minyak menggunakannya sistem terbabit.
Mesin itu dikatakan berfungsi mengimbas MyKad pengguna untuk menentukan kelayakan mereka menikmati harga subsidi.
Paparan skrin akan menunjukkan warna biru sekiranya pelanggan layak, merah jika kuota subsidi telah habis manakala ralat dipaparkan bagi yang tidak layak.
Selain menyemak kelayakan, mesin itu juga membolehkan operator mencipta pesanan berdasarkan pam digunakan pelanggan, mengesahkan jumlah isian serta mengeluarkan resit bagi tujuan semakan dan pembayaran.
Pada Jumaat, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengingatkan orang ramai supaya segera memeriksa MyKad bagi memastikan cip berfungsi dengan baik.
Katanya, pelaksanaan subsidi itu hanya boleh dinikmati apabila MyKad dapat mengesahkan identiti penerima semasa mengisi minyak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram