[VIDEO] Pastikan MyKad berfungsi untuk nikmati subsidi petrol — Saifuddin Nasution


  • Massa
  • Jumaat, 19 Sep 2025

Subsidi bersasar RON95 hanya boleh dinikmati apabila MyKad dapat mengesahkan identiti penerima semasa mengisi minyak. — Agensi

MENTERI Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengingatkan orang ramai supaya segera memeriksa MyKad bagi memastikan cip berfungsi dengan baik.

Katanya, pelaksanaan subsidi itu hanya boleh dinikmati apabila MyKad dapat mengesahkan identiti penerima semasa mengisi minyak.

"Harga petrol RON95 akan turun ke RM1.99 seliter melalui subsidi bersasar, satu perkara penting rakyat Malaysia kena buat adalah periksa MyKad anda dan pastikan cip berfungsi dan elok.

BACA LAGI: Warden sahkan perpindahan pelajar ada kaitan kes Zara Qairina, tapi punca tak diketahui

BACA LAGI: Baju pendekar Melayu tak tepati syarat, ibu dakwa guru tak benarkan anak sertai pertandingan baju kebangsaan

"Kalau cip rosak atau tidak boleh dibaca, jangan risau, boleh terus ke mana-mana pejabat atau kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) seluruh negara. “Insya-ALLAH, pembaikan siap pada hari sama. Mudah dan cepat.

“Jangan tunggu saat akhir, buat semakan awal supaya rakan-rakan dapat manfaatkan subsidi petrol khas untuk rakyat Malaysia ini," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat.

Dalam hantaran sama, Saifuddin Nasution berkata, inisiatif itu jelas membuktikan komitmen Perdana Menteri, Anwar Ibrahim untuk menunaikan janji yang pernah disuarakan kepada rakyat.

“Alhamdulillah, Perdana Menteri akan menunaikan janji kepada rakyat Malaysia. Insya-ALLAH, harga petrol RON95 akan turun ke RM1.99 seliter hujung bulan ini.

"Walaupun ambil masa sedikit, Alhamdulillah, beliau tetap tunaikan janji sebab Insya-ALLAH, beliau seorang yang berpegang pada kata-kata. A man of his words. Setiap janji yang dibuat akan dilaksanakan untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Saifuddin Nasution turut menegaskan kerajaan Madani komited terus membantu rakyat, menjaga kebajikan semua golongan serta memakmurkan ekonomi negara dengan penuh integriti dan tanggungjawab.

Sebelum ini, Anwar mengulangi jaminan bahawa harga petrol RON95 akan diturunkan kepada RM1.99 seliter menjelang akhir bulan ini, sekali gus menunaikan janji kerajaan untuk meringankan beban rakyat.

Katanya, langkah itu selari dengan komitmen kerajaan dalam memastikan rakyat menikmati harga bahan api yang lebih rendah, berbanding harga sebenar di pasaran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram