[VIDEO] Tambang RM60 tiba-tiba tukar RM836, 2 pelancong wanita China dakwa dikurung, ditampar prebet sapu


  • Tular
  • Jumaat, 19 Sep 2025

Tangkap layar menunjukkan sepasang suami isteri menawarkan perkhidmatan teksi haram dan menuntut bayaran lebih 14 kali ganda daripada dua pelancong wanita dari China.

DUA pelancong wanita warga China mengalami detik cemas selepas didakwa menjadi mangsa penipuan dan kekerasan oleh sepasang suami isteri yang menawarkan perkhidmatan teksi haram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Sepang, Selangor baru-baru ini.

Dalam video yang kini tular di media sosial, mangsa menceritakan kejadian pada 15 September lalu ketika mereka ditawarkan tambang RM60 oleh seorang lelaki warganegara Malaysia sewaktu mencari bas ke sebuah hotel di ibu kota.

Tawaran itu dianggap murah lalu mereka bersetuju menaiki kereta tersebut bersama isteri pemandu, memandangkan caj perkhidmatan e-hailing seperti Grab ke destinasi sama tidak jauh bezanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Pastikan MyKad berfungsi untuk nikmati subsidi petrol — Saifuddin Nasution

BACA LAGI: Warden sahkan perpindahan pelajar ada kaitan kes Zara Qairina, tapi punca tak diketahui

Namun, sebaik tiba di hadapan hotel, pemandu berkenaan enggan berhenti, sebaliknya memandu ke kawasan sunyi sebelum menuntut bayaran sebanyak RM836, lebih 14 kali ganda daripada jumlah asal.

Ketika pelancong tersebut enggan membayar, isteri pemandu menjerit bahawa mereka mesti ikut peraturannya kerana berada dalam keretanya, lalu mengunci pintu kereta sehingga mangsa terperangkap.

Pemandu tersebut terus memandu mengelilingi kawasan hotel, manakala panggilan pelancong China ke talian polis gagal.

"Kami benar-benar ketakutan di bandar asing, tiada sesiapa boleh membantu, kami menjerit tetapi suara kami tidak kedengaran,” luah salah seorang mangsa.

Selepas beberapa jam dalam keadaan cemas, jeritan mangsa akhirnya didengari kakitangan hotel yang membuka pintu kereta dan membantu mereka melarikan diri.

Namun, isteri pemandu menuduh mereka menipu dan mencuri telefon bimbit malah menuntut pampasan.

Ketika mangsa mahu membuat laporan polis, kakitangan hotel didakwa menggesa mereka menyelesaikan perkara itu secara ‘damai’ dengan wang.

Namun, dalam kekecohan itu, isteri pemandu menampar salah seorang mangsa tiga kali, manakala seorang lelaki yang cuba membantu turut dicekik pemandu tersebut.

Pasangan pemandu dan isterinya akhirnya melarikan diri sejurus selepas mangsa membuat laporan polis.

Kejadian tersebut sekali gus mencetuskan kemarahan warga maya yang menggesa pelancong supaya berhati-hati dan mengelak menggunakan kenderaan haram, serta segera melaporkan insiden seumpama ini kepada pihak berkuasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram