Saya nampak Zara bernafas kuat seperti berdengkur — Ketua warden


  • Kes
  • Rabu, 17 Sep 2025

Kes kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir kini menjadi topik hangat dan terus menjadi perhatian seluruh negara tanpa mengira peringkat usia.

KETUA warden asrama, Azhari Abd Sagap memberitahu Mahkamah Koroner Kota Kinabalu, Sabah dia memilih untuk tidak meletakkan pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, 13, di bilik sakit selepas menemui remaja itu tidak sedarkan diri kerana khuatir ia akan menjejaskan emosi pelajar lain.

Saksi kelapan berusia 31 tahun itu berkata, bilik sakit berkenaan dijadikan bilik Ketua Pelajar sejak awal tahun dan dihuni tiga pelajar senior serta seorang lagi pelajar Tingkatan Satu yang ketika itu masih dalam proses pemulihan akibat kecederaan kaki.

“Bilik sakit hanya beberapa langkah dari lokasi Zara ditemui, namun saya arahkan pelajar lain membawanya ke kawasan rata dan berbumbung kira-kira 20 meter dari situ,” katanya ketika prosiding pada Selasa.

BACA LAGI: Ketua warden arah matikan telefon awam asrama 2 hari selepas insiden Zara Qairina — Saksi

BACA LAGI: Punca sebenar kematian Zara Qairina, pakar patologi serah keputusan kepada mahkamah

Azhari yang juga guru Bahasa Arab berkata, dia berada di kuarters berhampiran asrama puteri sebelum menerima panggilan daripada pengawal keselamatan, Linah Mansoding @ Jaliha, 65, pada pukul 3.04 pagi, 16 Julai lalu yang memaklumkan kecemasan melibatkan Zara.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi, dia melihat Zara terbaring di atas longkang asrama dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kesan luka kecil di pergelangan kaki.

“Dia kelihatan bernafas kuat seperti berdengkur. Ketika itu beberapa pelajar dan pengawal keselamatan sudah ada di tempat kejadian.

“Saya arahkan mereka bantu alihkan Zara ke laluan simen berhampiran rumah warden. Saya juga minta mereka hamparkan kain sarung sebelum meletakkannya di situ,” jelasnya.

Kawasan longkang dipercayai tempat Zara terjatuh.

Katanya, dia tidak meletakkan pelajar itu di bilik sakit kerana terdapat pelajar lain di dalamnya dan bimbang mereka akan trauma melihat keadaan Zara.

Azhari menambah, pada mulanya dia bercadang menghantar Zara ke hospital dengan keretanya sendiri namun berubah fikiran selepas menyedari kecederaan yang dialami.

Ketika membantu mengangkat Zara, katanya, barulah dia menyedari terdapat darah di tepi longkang dan kaki mangsa dalam keadaan patah.

“Selepas nampak kecederaan itu, saya arahkan pelajar lain supaya jangan sentuh bahagian kakinya,” ujarnya.

Azhari menegaskan, sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai ketua warden, Zara tidak pernah membuat sebarang aduan mengenai masalah di asrama.

Dia mengajar Bahasa Arab dan Kemahiran Al-Quran sejak Jun 2020 dan dilantik sebagai Ketua Warden Asrama pada Februari 2025, bertanggungjawab ke atas bangunan tempat Zara ditempatkan.

Prosiding inkues itu dijalankan bagi menentukan punca sebenar kematian Zara yang dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari bangunan sekolah pada 16 Julai lalu. — The Star/SANDRA SOKIAL

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram