Zara dituduh curi RM300 sehari sebelum ditemui tidak sedarkan diri — Saksi


  • Kes
  • Jumaat, 12 Sep 2025

Zara dituduh mencuri wang rakannya sebelum ditemui tidak sedarkan diri.

PELAJAR tingkatan 1, Zara Qairina Mahathir pernah dituduh mencuri wang rakannya sebelum ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai.

Pengawal keselamatan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Papar, Sabah, Linah Mansoding @ Jaliha, 65, berkata dia didatangani oleh pelajar yang mengadu wang bernilai RM300 serta kad banknya hilang.

Pengadu yang merupakan pelajar tingkatan 1 itu mendakwa Zara mengambil duitnya dan kemudiannya melaporkan kepada pelajar tingkatan 4 sebelum Zara dipanggil.

BACA LAGI: Inkues Zara Qairina: Warden arahkan 2 pelajar bersihkan kesan darah — Pengawal keselamatan

BACA LAGI: Simulasi jatuh arwah Zara Qairina di asrama perempuan pakai 2 patung berat air

"Selepas aduan dibuat, pelajar tersebut memanggil Zara untuk berjumpa, tapi saya tak pasti apa yang jadi selepas itu.

"Berkemungkinan dia dipanggil untuk menyertai mesyuarat MA," katanya ketika inkues kes pelajar tersebut pada Jumaat.

Mesyuarat MA merupakan terma yang terpakai di sekolah tersebut yang membawa maksud sebuah mesyuarat di mana pelajar senior bertemu pelajar junior untuk menegur disiplin mereka.

Namun begitu, Limah memberitahu yang perbuatan tersebut sudah ditamatkan sejak 2017 kerana ia dilihat lebih kepada pelajar senior memberi tekanan kepada pelajar junior.

Kata Limah, sepanjang dia bertugas hanya tiga kali mesyuarat MA itu diadakan.

Menurutnya, sekiranya berlaku sesuatu, ia haruslah dilaporkan terus kepada guru namun pelajar suka mengambil tindakan sendiri menerusi mesyuarat, disebabkan itu mesyuarat MA diharamkan.

"Sepanjang saya bertugas, saya cuma tahu ada tiga kali mesyuarat MA dijalankan.

"Setiap masalah mesti dilaporkan kepada guru, tapi dalam kes ini pelajar lebih suka mengambil tindakan sendiri dengan memanggil pelajar junior bertemu mereka. Sebab itu mesyuarat MA kini diharamkan," ujarnya.

Ketika memberikan testimoni, Limah memberitahu mahkamah koroner yang dia cuma mengejutkan Zara semasa dia menemuinya terbaring pada 16 Julai itu.

Limah mengatakan yang Zara bernafas dengan kuat ketika dijumpai.

"Dia nampak seperti sedang tidur, dia baring dalam keadaan terlentang, kasihan saya melihatnya," ulas Limah. — The Star/MUGUNTAN VANAR

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram