Inkues Zara Qairina: Warden arahkan 2 pelajar bersihkan kesan darah — Pengawal keselamatan


  • Kes
  • Jumaat, 12 Sep 2025

Arahan itu dibuat selepas mangsa dibawa ke hospital menggunakan ambulans pada pertengahan Julai lalu.

DUA pelajar berusia 16 tahun diarah membersihkan tompokan darah di lokasi tempat Allahyarham Zara Qairina Mahathir diletakkan selepas ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu.

Menurut laporan Buletin TV3, pengawal keselamatan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Mustapha, Limauan, Linah Mansoding memberitahu mahkamah, warden utama dikenali sebagai Ustaz Azhari, dipercayai mengarahkan dua pelajar terbabit membersihkan kawasan itu selepas Zara Qairina dibawa menaiki ambulans.

“Ada darah keluar dari kaki Zara. Mereka membersihkan kawasan tempat Zara dialihkan selepas ambulans beredar. Seorang pengawal keselamatan lelaki turut membantu dengan menyalakan lampu suluh untuk mereka.

BACA LAGI: Simulasi jatuh arwah Zara Qairina di asrama perempuan pakai 2 patung berat air

BACA LAGI: Inkues Zara Qairina: Keluarga lancar tabung sokong kos perjalanan, penginapan saksi

Salah seorang pengawal keselamatan di SMK Tun Datu Mustapha mengakui ternampak salah seorang warden mengarahkan dua pelajar membersihkan kawasan Zara Qairina diletakkan.

“Bagaimanapun, kesan darah itu yang sudah menjadi hitam masih boleh dilihat sehingga sekarang,” katanya.

Linah berkata demikian ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan sebagai saksi keenam prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu itu di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu, Sabah pada Jumaat.

Jelasnya lagi, tompokan darah di lokasi asal Zara Qairina ditemukan berhampiran longkang akhirnya hilang akibat hujan lebat.

Terdahulu, dia memberitahu mahkamah ada melihat dua pelajar, seorang rakan sekelas dan Ustaz Azhari memindahkan Zara Qairina.

Ketika itu katanya, Zara Qairina tidak memakai tudung, sebahagian atas tubuhnya terbuka dan tidak terdapat selipar atau kasut berdekatan.

Kenyataan tersebut diberikan saksi keenam inkues di Mahkamah Koroner pada Jumaat.

Linah turut melihat darah mengalir dari tengkuk dan kaki kiri mangsa dengan tulang terkeluar dari kakinya.

Tambahnya, kejadian itu disaksikan dari lokasi pelajar berusia 13 tahun itu ditemukan hingga kawasan hadapan rumah seorang lagi warden berhampiran pintu keluar sekolah.

Saksi itu turut meniru bunyi mencungap untuk menggambarkan reaksi Zara Qairina ketika cuba dikejutkan sementara menunggu ambulans yang hanya tiba selepas sejam.

Peguam keluarga Zara Qairina, Shahlan Jufri, bertanya mengapa pelajar itu dialihkan.

“Saya tidak pasti, tetapi mereka kata kasihan padanya (Zara Qairina),” jawabnya sambil menambah kawasan tempat Zara ditemui itu sudah dua bulan bergelap tanpa lampu.

Dia turut mengakui Ustaz Azhari pernah memintanya memadam gambar yang diambil ketika pertama kali Zara Qairina ditemukan.

“Ustaz Azhari minta saya padam kerana bimbang ia akan tersebar jika pelajar lain meminjam telefon saya,” katanya.

Gambar berkenaan sudah dikemukakan sebagai satu daripada bahan bukti dalam prosiding inkues yang berlangsung selama 17 hari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram