Punca sebenar kematian Zara Qairina, pakar patologi serah keputusan kepada mahkamah


  • Kes
  • Khamis, 04 Sep 2025

Pada 8 Ogos, AGC mengarahkan supaya mayat Zara Qairina digali semula untuk membolehkan pemeriksaan bedah siasat.

MAHKAMAH Koroner akan memutuskan punca sebenar kematian Zara Qairina Mahathir sama ada ia berlaku secara tidak sengaja atau berpunca daripada tindakan sendiri, kata Pakar Patologi Forensik Hospital Queen Elizabeth, Dr Jessie Hiu.

Pada prosiding hari kedua keterangan Dr Jessie pada Khamis, peguam Datuk Ram Singh bertanyakan kemungkinan Zara Qairina terjun dari tingkat tiga asrama berkenaan.

“Itu adalah untuk Mahkamah Koroner tentukan,” kata Dr Jessie.

BACA LAGI: Mustahil boleh sumbat Zara Qairina dalam mesin basuh — Pakar patologi

BACA LAGI: Ibu Zara Qairina tidak pernah minta sebarang kutipan derma bayar peguam, khidmat secara pro bono

Ram merujuk kepada keterangan terdahulu Dr Jessie bahawa kejatuhan Zara Qairina bukan disebabkan kemalangan atau ditolak pihak lain.

“Soalan saya, jika ia bukan kemalangan dan bukan kerana ditolak, adakah kemungkinan dia terjun sendiri?” soal Ram.

“Dia berdiri di lantai berhampiran pagar, bukan di atas pagar seperti ditunjukkan dalam gambar,” jawab Dr Jessie sambil merujuk kepada gambar lakonan semula kejadian ketika lawatan tapak pada 2 Ogos lalu yang dikemukakan di mahkamah.

Ram kemudian bertanya: “Apakah definisi yang boleh digunakan dalam situasi sebegini untuk menyatakan si mati melakukannya sebagai cubaan bunuh diri?”

“Itu adalah untuk mahkamah tentukan,” jawab Dr Jessie sekali lagi.

Dr Jessie memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Terdahulu, Dr Jessie menggunakan patung model (mannequin) untuk menerangkan kepada mahkamah mengenai tahap kecederaan yang dialami Zara Qairina.

Siasatan inkues dijadual bersambung pada 8 September ini. — The Star/ MUGUNTAN VANAR

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram