
MAJLIS Daerah Baling tampil memberikan penjelasan berhubung isu caj petak niaga sebanyak RM400 yang tular di media sosial dan melibatkan pempengaruh media sosial, Faiz Soul.
Dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada Ahad, MDB menjelaskan bahawa caj RM400 tersebut adalah merangkumi tiga komponen tetap, iaitu Lesen Perniagaan Sementara (RM100), Sewa Tapak Perniagaan (RM200) dan Caj Kutipan Sampah (RM100).
Caj tersebut adalah kadar standard yang ditetapkan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Perdagangan, Perniagaan dan Perusahaan (Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Kedah) 1985.
BACA LAGI: [VIDEO] Dakwa cedera dipukul pemandu mengundur, polis siasat kes gaduh dekat lampu isyarat di Klang
“Caj ini bukan ditentukan secara sewenang-wenangnya oleh mana-mana pegawai, sebaliknya telah ditetapkan dan diluluskan oleh Majlis sejak sebelum pandemik COVID-19,” menurut kenyataan itu.
MDB turut menjelaskan bahawa tapak bersebelahan KFC Pekan Baling asalnya kawasan parkir telah diubah menjadi kawasan gunasama bagi pelbagai aktiviti termasuk ekspo dan jualan.
Kadar RM400 itu dikenakan untuk tempoh satu hari penuh (24 jam), bukan semata-mata dari pukul 4 petang hingga 7 malam seperti yang didakwa.
Majlis juga menghargai tindakan Faiz Soul yang telah membuat bayaran penuh berdasarkan persetujuan bersama dan menyatakan bahawa isu tersebut seharusnya tidak lagi dipanjangkan.
Di samping itu, MDB turut menyentuh dakwaan berhubung tindakan seorang pegawai wanita yang dikenali sebagai 'Aishah400' susulan perbualan telefon bersama Faiz Soul yang dikongsi menerusi siaran langsung TikTok.
Siasatan dalaman mendapati tiada pelanggaran etika atau niat tidak baik dalam tindakan pegawai tersebut.
Namun begitu, Majlis mengakui pegawai terbabit seharusnya mengekalkan tahap profesionalisme lebih tinggi dalam berurusan dengan orang awam.
“Penggunaan gelaran ‘Aishah400’ adalah tidak wajar kerana caj itu adalah keputusan Majlis, bukan individu,” tambahnya.
Pada masa sama, majlis menasihatkan agar isu tersebut tidak dijadikan bahan serangan peribadi yang boleh menjejaskan imej pegawai awam serta organisasi.
MDB turut memaklumkan bahawa kadar caj tersebut akan dikaji semula selaras dengan situasi semasa, selepas menerima maklum balas daripada peniaga dan usahawan kecil.
Pempengaruh media sosial, Faiz Soul sebelum ini terkejut dengan caj petak niaga sebanyak RM400. — Facebook/fazlyraimy
"Berhubung dengan isu caj RM 400.00 bagi petak niaga/parkir di tempat meletak kenderaan bersebelahan KFC Pekan Baling, pihak Majlis telah memberikan maklumbalas dan komitmen kepada YB Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Kedah Darul Aman untuk menyemak semula kadar yang dikenakan sesuai dengan situasi semasa.
"Perkara ini juga telah dibawa ke perhatian Ahli-Ahli Majlis dan pegawai yang menganggotai Jawatankuasa Tetap Pelesenan, Kesihatan Persekitaran, Kebersihan dan Perancang Majlis Daerah Baling untuk tindakan segera," ujarnya.
Sementara itu, berikutan tekanan dan tohmahan yang diterima, pegawai yang terlibat juga sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap individu atau pihak yang menyebarkan tuduhan melampau di media sosial.
"Susulan kesan psikologi dan gangguan kerja akibat penyebaran tohmahan serta foto pegawai terlibat di media sosial, Majlis bersetuju agar beliau mempertimbangkan tindakan lanjut terhadap pihak yang menyebabkan kerosakan reputasi dan buli siber," katanya.
Majlis turut merakamkan permohonan maaf atas kekeliruan yang timbul dan menyeru semua pihak agar menghentikan penyebaran isu ini demi menjaga keharmonian komuniti dan nama baik semua pihak terlibat.
“Majlis sentiasa terbuka untuk berbincang, menerima pandangan dan penambahbaikan daripada usahawan serta peniaga demi membangunkan ekonomi tempatan di daerah Baling," tambahnya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram