[VIDEO] Lambat tekan brek, pelajar melambung 360 darjah bertembung kereta di Pengkalan Chepa


  • Tular
  • Selasa, 13 Jun 2023

Tangkap layar kemalangan melibatkan seorang penunggang motosikal dan pemandu kereta di simpang Jalan Tanjung Chat, Pengkalan Chepa, Kota Bharu.

SEORANG penunggang motosikal lelaki mengalami kecederaan patah lutut kaki selepas kemalangan di simpang Jalan Tanjung Chat, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan pada Isnin.

Ketika kejadian, lelaki berkenaan yang difahamkan merupakan pelajar tingkatan lima itu terlebih dahulu menunggang laju di laluan berkenaan.

Gagal menekan brek, mangsa kemudiannya merempuh sebuah kenderaan yang meluru keluar simpang dan sekali gus mengakibatkan penunggang terbabit tercampak di lokasi kejadian.

Dirakam menerusi kamera dashcam pemandu di situ, perkongsian video tersebut di laman Facebook hangat diperkatakan warganet.

Di ruangan komen, salah seorang warganet dipercayai keluarga mangsa menjelaskan bahawa pelajar berkenaan berada dalam keadaan stabil dan telah menjalani ujian x-ray di hospital.

"Mangsa selamat tapi patah lutut, yang lain dah jalani ujian x-ray dan Alhamdulillah tak ada anggota lain yang patah, pelajar tingkatan lima yang kemalangan itu," kata SitiNazihah Mohamed.

Dalam pada itu, segelintir komen juga mendesak agar pihak berkuasa membina lampu trafik di simpang berkenaan yang disifatkan terlampau berbahaya dan mengakibatkan banyak kemalangan.

"Simpang situ memang bahaya dan ramai penunggang yang terlibat kemalangan, sepatutnya kena ada lampu trafik barulah selamat," kata Azhar Umairuddin.

"Bahaya simpang tiga besar macam itu tak ada lampu trafik, penunggang motosikal memang bawa laju kawasan situ tak nampak jalan," ujar Mohd Hairi.

"Pihak berkuasa kena pantau juga kawasan simpang, bahaya kena ada kawalan polis trafik ataupun lampu trafik," jelas Maisarah Syamsul.

Namun, tiada sebarang kematian berlaku dalam kejadian itu dan pemandu kereta tersebut juga difahamkan tidak mengalami kecederaan dengan pelajar berkenaan kini masih menerima rawatan susulan di hospital.

Belum ada kenyataan polis berhubung kemalangan terbabit dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai berhampiran untuk membuat laporan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram