Diberhentikan kerja dek pandemik, bekas akauntan pulang ke Pengkalan Chepa buka kedai baiki telefon pintar


  • Bizz
  • Rabu, 15 Jan 2025

Atif memulakan perniagaan kedai membaiki alatan elektronik pada November 2023.

DALAM dunia yang semakin bergantung pada teknologi, penggunaan alatan elektronik atau gajet seperti telefon pintar menjadi keperluan utama untuk setiap individu.

Bagaimanapun, dek penggunaan yang kerap, telefon pintar terdedah kepada pelbagai jenis kerosakan seperti skrin pecah, masalah bateri atau kegagalan sistem.

Disebabkan itu, permintaan terhadap perkhidmatan pembaikan telefon pintar juga semakin meningkat sehingga menjadikan perniagaan itu peluang bisnes menguntungkan.

BACA LAGI: Tiga pesan guru ditemui ketika umrah jadi kekuatan Ikhlas bangunkan platform mesra Muslim

BACA LAGI: Mahu orang Sabah dapat 'vinyl' pada harga mampu milik, jurutera penyelenggara helikopter buka kedai piring hitam di Kinarut

Malah, pelbagai rangkaian dan kedai pembaikan gajet muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan di seluruh negara sejak beberapa tahun belakangan ini.

Salah seorang usahawan melibatkan diri dalam bidang ini ialah Atif Irfan Badaruddin, 36, yang mengusahakan kedai membaiki gajet, Gadget Profix di Pengkalan Chepa, Kelantan.

Menurut Atif, kedai tersebut merupakan cawangan keenam daripada tujuh rangkaian perniagaan kedai membaiki telefon yang dibina oleh abangnya, Ali Affan, 37, di bawah jenama Gadget Profix.

WhatsApp Image 2025-01-14 at 12.27.53

Gadget Profix mempunyai kepakaran dalam membaiki alatan elektronik terutamanya telefon pintar.

Sebelum membuka perniagaan tersebut, anak kelahiran Kota Bharu itu terlebih dahulu memulakan kerjaya sebagai akauntan di sebuah syarikat swasta di Lembah Klang sejak 2014.

Bagaimanapun, ketika negara dilanda Covid-19, Atif yang waktu itu tidak sampai beberapa bulan bertukar syarikat diberhentikan kerja akibat kekangan operasi kerana pandemik.

Situasi itu menyebabkannya membuat keputusan pulang ke Kelantan dan bertugas selaku juruaudit pada 2020.

Pun begitu, dalam tempoh tersebut, dia diajak oleh abangnya yang ketika itu sudah terlibat dalam perniagaan membaiki gajet sejak 2019 untuk bersama-sama membuka cawangan baharu.

"Sudah beberapa kali abang ajak untuk menyertainya, tapi saya belum yakin. Lalu, saya bersetuju, namun perlu mengumpul modal dahulu," kongsinya kepada Majoriti.

Selepas lebih dua tahun, Atif akhirnya memberanikan diri membuka kedai membaiki gajet bermodalkan sekitar RM50,000 daripada duit simpanan peribadi dan perkongsian bersama abangnya.

"Saya terdedah kepada potensi besar bisnes ini dengan melihat sendiri permintaan tinggi menerusi rangkaian kedai yang diusahakan oleh abang.

"Malah, permintaan tinggi ini juga dapat dilihat ketika negara berdepan pandemik. Sehingga kini, dia sendiri sudah memiliki tujuh cawangan Gadget Profix di sekitar Kelantan termasuk kedai saya.

"Jadi, saya melihat peluang cerah dalam perniagaan ini termasuk tempoh lima tahun akan datang," katanya.

Selain telefon pintar, kedai diusahakan Atif turut menyediakan perkhidmatan membaiki gajet lain antaranya jam tangan pintar dan komputer riba.

412100111_122115910100122966_603264920143701524_n

Gadget Profix Pengkalan Chepa secara purata menerima seramai 120 pelanggan setiap bulan.

Sementara itu, Atif mengakui langkah berubah angin dengan menjadi usahawan sememangnya memberikan satu cabaran baharu yang tidak mudah.

"Memang susah masa awal-awal kerana sudah terbiasa bekerja dengan orang. Jadi apabila uruskan sendiri memang banyak perlu diubah khususnya dari segi pemikiran.

"Sekarang ini apabila bekerja sendiri, kalau tidak bekerja dan bisnes tidak baik, maka tiada gaji," ujarnya yang turut dibantu oleh oleh juruteknik membaiki gajet.

Ketika ini, Atif berkata, kedainya secara purata menerima kira-kira 120 pelanggan setiap bulan dengan nilai jualan sekitar RM18,000 hingga RM20,000.

"Kalau ikutkan jumlah jualan itu masih agak rendah berbanding cawangan lain yang biasanya capai sekitar RM35,000 hingga RM40,000.

"Namun, dek masih baharu, jadi ambil masa untuk capai tahap jualan tersebut," ujarnya yang turut menyasarkan membuka cawangan di beberapa daerah lain berpotensi seperti Bachok. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram