
ORANG ramai khususnya golongan wanita dinasihatkan agar lebih bijak membuat keputusan membeli emas sebagai pelaburan tatkala harga emas diramal terus melonjak antara RM600 hingga RM700 segram hujung tahun ini.
Menurut seorang ejen jualan Public Gold, Arif Wafi, membeli emas Public Gold dan pada masa sama menukar pelaburan itu kepada emas perhiasan dianggap berisiko tinggi dan tidak memberi pulangan berbaloi.
Dia berkata demikian ketika memberikan maklum balas kepada seorang pengguna Threads, Norrr08, yang bertanya pendapat sama ada dia perlu jual pelaburan Public Gold dan beli emas perhiasan atau teruskan simpan dalam Public Gold.
BACA LAGI: Lihat prestasi kewangan syarikat, pakar kongsi tip minta naik gaji dengan majikan
BACA LAGI: Pelancong dari Malaysia paling ramai guna tren laju Whoosh hubungkan Jakarta-Bandung
Jelas Arif Wafi, walaupun wanita tersebut sudah menikmati keuntungan sekitar 50 peratus daripada Public Gold, namun tindakan menjual pelaburan itu tidak digalakkan.
Ini kerana, katanya, pembeli akan menanggung dua jenis 'spread' atau susut nilai.
“Spread tertinggi bagi emas Public Gold ialah sekitar 9 peratus, manakala spread emas perhiasan boleh mencecah sehingga 40 peratus.
"Jika dicampurkan, jumlahnya ialah 49 peratus. Ini bermakna, walaupun pelabur meraih keuntungan 50 peratus, selepas ditolak spread, keuntungan sebenar hanyalah sekitar 1 peratus sahaja,” jelasnya.
Tambah beliau, keadaan itu menjadikan strategi tersebut kurang berbaloi untuk dijadikan simpanan atau pelaburan jangka panjang.
Sebagai alternatif, beliau menyarankan agar orang ramai menggunakan pendapatan gaji untuk membeli emas perhiasan secara terus, tanpa perlu melalui proses pertukaran daripada emas pelaburan.
Terdahulu, dilaporkan harga emas diramal boleh melonjak kepada RM600 hingga RM700 segram pada penghujung tahun ini, didorong oleh fenomena luar biasa dan isu global yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Sehubungan itu, trend pembelian emas dijangka akan berterusan,memandangkan emas bukan hanya menjadi aset pelaburan yang menguntungkan, tetapi juga mampu menjadi simpanan jangka panjang yang kukuh. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram