
KIRA-KIRA empat tahun lalu, Siti Hajar Ruslee hanyalah seorang barista di Malaysia dengan gaji bulanan anggaran RM2,800.
Namun hari ini, simpanan emasnya mencecah lebih RM40,000 hasil disiplin kewangan dan strategi pelaburan konsisten.
Menerusi laman Instagram, Siti Hajar berkongsi bahawa dia tidak bergantung kepada pendapatan tinggi untuk memulakan simpanan.
Sebaliknya, dia mengambil langkah luar biasa dengan memperuntukkan hampir 40 peratus daripada pendapatan bulanan untuk pelaburan emas.
“Setiap bulan saya simpan RM1,100 dalam bentuk emas. Saya konsisten simpan selama 10 bulan,” katanya.
Walaupun pendapatan bulanan hanyalah RM2,800, komitmen tinggi terhadap simpanan membuahkan hasil.
Dalam tempoh empat tahun, nilai emas yang disimpannya telah berganda, seiring dengan kenaikan harga emas dunia.
Mengikut data harga emas semasa, emas telah meningkat secara purata kira-kira 8 hingga 10 peratus setahun sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada 2020, harga emas sekitar RM260/gram dan hari ini, ia melepasi RM400/gram, bergantung kepada bentuk dan ketulenan emas.
Strategi Siti Hajar ternyata tepat pada masanya dan berlandaskan fakta.
Tidak berhenti di situ, pada tahun ketiga dia meningkatkan simpanan emas kepada RM1,300 sebulan.
Dalam 10 bulan, dia berjaya menyimpan RM13,000 lagi. Dua tahun kemudian, nilai simpanan itu melonjak kepada lebih RM21,000.
“Saya bukan bernasib baik. Ini bukan nasib. Ia strategi. Saya tak kaya, saya cuma konsisten,” kata Siti Hajar.
Berikut antara tip simpanan emas yang boleh dijadikan panduan:
1. Simpan tetap setiap bulan, walaupun amaun kecil.
2. Fokus pada emas fizikal atau platform simpanan emas patuh syariah.
3. Disiplin dan konsisten dengan tidak jual emas dalam tempoh jangka pendek.
4. Reinvest – ulang strategi setiap tahun dengan jumlah simpanan lebih tinggi.
Kisah Siti Hajar menunjukkan bahawa semua orang mampu menikmati kekayaan dan bukan hanya untuk individu bergaji besar, tetapi juga buat mereka yang ada ilmu kewangan dan ketekunan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram