
PADA 2008, ketika suaminya meninggal dunia, Ismaliza Ismail berasakan hidupnya bagai terhenti sejenak.
Dengan enam orang anak berumur antara sembilan hingga 20 tahun, dia bukan sahaja menghadapi kesedihan, tetapi juga terasa bebanan kerana harus memikul tanggungjawab berganda mencari nafkah.
“Saya berasa resah setiap kali memikirkan ada bil dan yuran yang perlu dibayar.
"Nak makan apa pun cukup membuatkan saya bimbang ada duit ke tidak. Saya terjaga malam-malam dan tertanya-tanya bagaimana nak meneruskan kehidupan kami,” katanya.
BACA LAGI: Gaji barista RM2,800 tak halang wanita labur beli emas hingga simpanan cecah RM40,000
BACA LAGI: Croissant Jalur Gemilang inovasi patriotik bakeri di Jitra sempena Hari Malaysia
Ismaliza (duduk, dua kanan) berkata, anak-anak menjadi sumber kekuatan untuk memajukan diri dalam perniagaan karipap.
Tanpa pendapatan tetap, dia mencari-cari cara bagaimana untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Namun, siapa sangka, dapur kecilnya di Ara Damansara, Petaling Jaya, menjadi pentas permulaan hidup baharu.
Dalam keadaan terdesak, dia mengambil resipi karipap arwah ibunya, yang menjadi kegemaran keluarga.
Dia menjual karipap beku kepada jiran dan kenalan. Pendapatannya hanya sekitar RM300 sebulan, cukup-cukup untuk perbelanjaan sekolah, barang runcit dan sewa.
“Saya cakap dengan diri saya, mungkin resipi ini boleh menjadi talian hayat saya,” katanya.
Selama bertahun-tahun, dia terus bertahan demi anak-anak.
“Masa depan mereka bergantung kepada saya. Itu menjadi sumber kekuatan saya,” tambahnya.
Perubahan berlaku apabila dia menyertai Program Penyamaan Keusahawanan oleh People Systems Consultancy (PSC), sebuah perusahaan sosial Malaysia yang membantu komuniti mencipta sumber pendapatan mampan.
Untuk pertama kali, dia melihat perniagaan dapurnya sebagai bisnes sebenar.
“Ia mengajar saya mengenai perancangan kewangan, penetapan harga produk, pemasaran, malah cara mendekati kafe dengan sampel,” kongsinya.
"Yang paling penting, program ini memberi saya keyakinan untuk mempercayai diri sebagai seorang usahawan,” katanya.
Dengan kemahiran dan bimbingan baharu, perniagaan karipapnya mula berkembang.
Tidak lagi terhad kepada pesanan rumah, dia mula membekalkan kepada kafe-kafe di Lembah Klang, termasuk cawangan Richiamo Coffee dan kafeteria pejabat kerajaan di Putrajaya.
Dia juga mempelbagaikan produk, termasuk burger nangka dan biskut raya.
Biskut Cookies Minda antara produk yang dihasilkan oleh Ismaliza.
Kini, pada usia 65 tahun, Ismaliza memperoleh antara RM5,000 hingga RM8,000 sebulan, lebih tujuh kali ganda daripada permulaan bisnesnya.
“Sebelum PSC, saya hanya melihat diri saya sebagai ibu tunggal yang pandai memasak.
"Kini saya melihat diri saya sebagai usahawan dengan visi,” katanya.
Bagi Ismaliza, kejayaan bukan sahaja terletak pada kestabilan diri tetapi juga membantu orang lain sepanjang perjalanan.
Terinspirasi oleh model bimbingan PSC, dia kini aktif menyokong dan melatih ibu tunggal lain.
“Saya berkongsi perjalanan, perjuangan, kegagalan dan kejayaan kecil saya,” katanya.
Detik paling membanggakan adalah apabila salah seorang anak didiknya mendapat pesanan pukal pertama dari sebuah pejabat korporat.
“Dia menghubungi saya dengan penuh kegembiraan. Rasa macam salah seorang anak saya sendiri telah berjaya,” senyumnya.
Selain membimbing, dia juga mewujudkan peluang pendapatan dengan melibatkan ibu tunggal dan orang kurang upaya dalam rantaian bekalannya.
“Kejayaan hanya bermakna apabila ia membantu orang lain,” katanya.
Ismaliza membekalkan karipap untuk kafe Richiamo Coffee.
Dikenali sebagai ‘Mummy’ dalam komuniti, panggilan itu sangat dihargai Ismaliza.
“Bagi saya, ia mewakili sebuah keluarga,” tuturnya.
Program itu bukan sahaja menanamkan ilmu perniagaan tetapi juga disiplin pelaburan semula.
Menurut Ismaliza, simpanan 20 peratus daripada pendapatan membolehkannya membeli peti sejuk beku yang lebih besar sekali gus membolehkan dia menerima pesanan pukal tanpa ragu.
Kini, dia berharap produknya dapat menembusi pasar raya, sekolah asrama dan hospital.
Wanita itu juga berharap untuk melancarkan produk baharu seperti sambal nangka dan mayonis tanpa telur.
“Dengan sokongan yang betul, saya percaya ia dapat direalisasikan,” katanya. — The Star/ MING TEOH
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram