
LEBIH 750 pelancong Malaysia menggunakan tren laju Whoosh di Indonesia setiap hari pada awal September, didorong oleh cuti hujung minggu yang panjang di kedua-dua negara, menurut kenyataan pengendali tren berkenaan.
Sejak dilancarkan pada Oktober 2023, perkhidmatan tren laju pertama di Asia Tenggara itu telah membawa 528,000 penumpang antarabangsa.
Daripada jumlah itu, rakyat Malaysia merupakan kumpulan terbesar iaitu seramai 225,000 orang atau 43 peratus, menurut PT Kereta Cepat Indonesia-China (KCIC).
BACA LAGI: Banyak perniagaan di Ipoh tutup awal, ada keperluan tambah aktiviti galak hiburan malam
BACA LAGI: Bantuan SARA RM100 jadi modal anak gadis berniaga kek batik indulgence, tiramisu di Bangi
Jurucakap KCIC, Eva Chairunisa berkata, pelancong asing menganggap Whoosh bukan sahaja sebagai pengangkutan, tetapi juga sebahagian daripada pengalaman melancong mereka di Indonesia.
"Setiap hari, puluhan kumpulan pelancong Malaysia tiba sama ada dari lapangan terbang atau selepas melawat Jakarta, sebelum meneruskan perjalanan ke Bandung dengan menaiki tren Whoosh," katanya dalam satu kenyataan.
Whoosh menghubungkan Jakarta ke Bandung dengan jarak perjalanan sejauh 150 kilometer (km), dalam tempoh kurang 50 minit.
Ia jauh lebih pantas berbanding melalui lebuh raya bertol yang boleh mengambil masa lebih 4 jam ketika kesesakan musim cuti.
KCIC bersama-sama Kementerian Pelancongan Indonesia dan pihak berkuasa tempatan turut mempergiatkan promosi ke luar negara melalui pameran pelancongan, lawatan pengenalan (familiarisation trip) dan kerjasama dengan vlogger pelancongan Malaysia bagi menarik lebih ramai pelawat.
Sementara itu, pelancong Malaysia juga mencatatkan jumlah ketibaan antarabangsa tertinggi ke Indonesia pada bulan Julai, dengan seramai 212,000 orang daripada keseluruhan 1.48 juta ketibaan.
Namun begitu, ketibaan pelancong dari Malaysia menurun sebanyak 0.28 peratus berbanding bulan Jun, menurut data yang dikeluarkan oleh Badan Pusat Statistik (BPS) Indonesia. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram