
UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tampil menghulurkan sumbangan berjumlah RM420,000 kepada waris 42 pelajar yang terbabit dalam nahas bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, Perak pada 9 Jun lalu.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Norkhalid Salimin berkata, setiap waris mangsa yang terkorban dan cedera menerima RM10,000 menerusi Tabung UPSI Prihatin Gerik.
"Tabung ini diwujudkan khusus bagi membantu mangsa dan keluarga sebagai simbol solidariti warga universiti dan komuniti.
BACA LAGI: [VIDEO] Pura-pura ikut mencari, jiran terdekat rupa-rupanya dalang kes mayat anak tunggal dalam guni
"Sebelum ini, sebanyak RM1.7 juta sudah berjaya dikumpulkan hasil sumbangan pelbagai pihak," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Nahas bas pelajar UPSI di JRTB, Gerik, Perak pada 9 Jun lalu mengorbankan 15 nyawa.
Majlis penyerahan sumbangan berlangsung di Pasir Puteh, Kelantan pada Isnin dengan kehadiran lebih 100 ahli keluarga, pelajar serta waris mangsa.
Turut hadir, Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed; Ketua Timbalan Pendaftar JHEPA, Maskana Ahmad; Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Prof Madya Dr Mazura@Mastura Muhammad serta Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) FBK, Dr Mohd Amir Mohd Zahari.
Menurut Norkhalid, pemberian itu juga melambangkan rasa prihatin seluruh warga UPSI terhadap keluarga yang masih berduka.
"Saya cukup terharu dengan ketabahan mereka. Diharapkan bantuan ini dapat meringankan beban serta memberi semangat kepada pelajar untuk terus menuntut ilmu," ujarnya.
Terdahulu, nahas pada 9 Jun lalu meragut 15 nyawa pelajar UPSI apabila bas sewa khas dari Jertih, Terengganu ke Tanjong Malim, Perak terbabas di berhampiran Tasik Banding.
Tragedi itu turut mencederakan 33 individu lain termasuk pemandu bas, kelindan serta penumpang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram