
BEKALAN elektrik di beberapa kawasan di Pantai Timur Sabah yang terjejas sejak Sabtu lalu dipulihkan secara berperingkat.
Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dalam satu kenyataan di Facebook rasmi memaklumkan, bekalan di Kunak serta beberapa kawasan di Lahad Datu sudah kembali pulih, manakala di Semporna, kawasan yang menerima semula bekalan termasuk Stesen Minyak Buraq Oil, Kampung Sri Melor dan kawasan sekitarnya.
Di Tawau, kawasan terlibat termasuk Jalan Kampung Tinagat, Kampung Batu Payung, QL Farm, Jalan Apas Parit, SK Batu Payung, SK Kinabutan Besar serta sekitar kawasan berkenaan juga telah menerima bekalan semula.
BACA LAGI : [VIDEO] 'Samping ini aku paling sayang', pelajar Malaysia sempat beri hadiah, solat Jumaat terakhir di AS
BACA LAGI : [VIDEO] Menyesal tak berguna, lelaki Indonesia tergamak kerat kekasih, seminggu tinggal bersama jasad
Terdahulu, gangguan elektrik itu berlaku susulan kerosakan pada talian penghantaran 275KV Kolopis-Segaliud membabitkan dua laluan pada pukul 5.05 petang, Sabtu.
Antara daerah yang terjejas ialah Sandakan, Lahad Datu, Kinabatangan, Kunak, Semporna, Beluran dan Tawau.
Tinjauan Bernama pada pukul 7 pagi Sabtu mendapati terdapat kawasan di Tawau yang masih belum menerima semula bekalan elektrik.
Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee turut memaklumkan menerusi Facebook bahawa beberapa kawasan di Sandakan mengalami gangguan elektrik sehingga 13 jam.
Selain itu, tinjauan juga mendapati talian internet di kawasan yang terputus bekalan turut terjejas dengan capaian lebih perlahan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram