[VIDEO] Di sebalik kecaman, suami dipuji tetap tenang lepas isteri cedera kemalangan


  • Tular
  • Khamis, 21 Ogos 2025

Suami kepada mangsa menenangkan mangsa yang jelas kesakitan di kaki akibat kemalangan tersebut. — Gambar janaan AI

SUDAH menjadi kebiasaan buat mana-mana individu untuk berasa panik dan cemas apabila insan tersayang terlibat dalam apa-apa jua musibah, termasuk kemalangan jalan raya.

Namun, berbeza buat seorang lelaki yang dapat mengekalkan tahap ketenangan selepas isterinya dilanggar kereta yang dipercayai ketika itu sedang beroperasi sebagai kenderaan e-hailing.

Dalam video berdurasi hampir dua minit, individu tersebut mengharapkan pasangannya yang terbaring di atas jalan raya tidak mengalami kecederaan serius berikutan nahas tersebut.

BACA LAGI: Bukan saja polis, ada lagi unit uniform tak perlu pakai tali pinggang keledar tetapi bersyarat

BACA LAGI: [VIDEO] Mangsa maut motor terbabas di Tumpat rupanya ahli kariah masjid, tak lokek belanja makan

"Kereta e-hailing ini sudah langgar bini saya, harapnya dia tidak apa-apa. Sekarang saya sedang menunggu ambulans datang kerana kakinya tidak boleh digerakkan, tetapi tiada kecederaan di muka.

"Saya dapat panggilan daripadanya semasa sedang bekerja mengatakan dia jatuh motosikal, aku harap tiada apa-apa. Saya tak boleh salahkan siapa-siapa kerana tidak tahu kisah sebenar," katanya.

Meskipun tidak menyatakan maklumat lanjut berkaitan insiden itu, pelanggaran dipercayai berlaku sekitar Jalan Pantai Murni, Kuala Lumpur melihat kepada deretan kedai berhampiran.

Jelas lelaki tersebut, maklumat lanjut mengenai kemalangan itu hanya boleh diketahui menerusi rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang akan memberikan bahan bukti terbaik.

Rakaman berkenaan turut memaparkan anggota penguatkuasa trafik sudah berada di lokasi kejadian berserta pemandu kereta terbabit dengan masing-masing enggan mengeruhkan lagi keadaan.

Video tersebut kemudian memaparkan kehadiran ambulans milik Bulan Sabit Merah Malaysia yang memberi pertolongan cemas sebelum membawa mangsa ke hospital untuk diberikan rawatan lanjut.

Melihat kepada komen di media sosial, ada berasakan tindakannya merakam keadaan sebegitu tidak sepatutnya berlaku kerana ia tidak membantu dalam tuntutan insurans atau siasatan pihak berkuasa.

"Video ini bukan boleh dijadikan sebarang bukti, demi konten dia sanggup merekodkan isterinya yang sedang cedera. Budak sekarang, betul lain macam fikiran masing-masing," kata Someone.

"Saya menghormati suami kerana kekal tenang, tetapi boleh pula dia sanggup merakam video sebegini untuk konten. Memang berbeza fikirannya," kata Mr D.

Namun, melihat kepada ketenangan ditonjolkan sepanjang video tersebut, sikapnya itu wajar dicontohi kerana sikap panik hanya akan memburukkan lagi keadaan.

Selain itu, kehadirannya di samping wanita yang cedera tersebut membuktikan suami tersebut cukup mengasihi pasangannya yang sudah tentu mahukan kehadiran insan tersayang dalam situasi sedemikian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram