
KECOH Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman cedera semasa mengawal keadaan ketika operasi pemotongan bekalan elektrik di beberapa rumah di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur pada Khamis.
Melalui video dan gambar yang tular di media sosial, Sulizmie dilihat luka berdarah di kepala.
Operasi berkenaan susulan arahan mahkamah bagi melaksanakan proses perobohan struktur rumah di kawasan tersebut.
BACA LAGI: Disaman RM300 walhal lesen masih sah, lelaki bidas kelemahan sistem MyJPJ
Susulan daripada kejadian itu, polis menahan beberapa individu berhubung kecederaan dialami Sulizmie Affendy semasa rempuhan penduduk di kawaan tersebt.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata, Sulizmie cedera akibat dibaling objek dalam kejadian berkenaan.
"Sebagai komander operasi, ini adalah antara cabaran yang perlu dihadapi pegawai saya (Sulizmie) apabila ada pihak yang bertindak keterlaluan.
"Dalam insiden itu (rempuhan), ada beberapa individu yang ditahan dan kes ini akan disiasat mengikut Kanun Keseksaan," katanya pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman cedera semasa mengawal keadaan ketika operasi pemotongan bekalan elektrik di beberapa rumah di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur pada Khamis.
Orang Awam pic.twitter.com/3aUGMc2HCp
— Nadine Ardine (@MoMoT_Nadine) September 11, 2025
Tambah Fadil lagi, Sulizmie dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menerima rawatan atas kecederaan dialaminya.
"Saya difahamkan ada juga orang awam yang mengalami cedera ringan iaitu terseliuh pada tangan dalam rempuhan itu dan kami akan kenal pasti individu berkenaan," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya mengesan sekumpulan individu dikenal pasti bukan penduduk Kampung Sungai Baru yang dipercayai cuba menimbulkan kekecohan.
"Ada dalam kalangan individu (berkumpul) di sini dipercayai terbabit dengan aktiviti menimbulkan kekacauan, 'berkepentingan' serta mencurigakan.
"Malah, perkara itu diakui penduduk yang mengenal pasti terdapat orang luar turut berkumpul di sini (kawasan operasi) yang buat begini (menimbulkan kekecohan).
"Justeru itu, saya menyeru kepada penduduk Kampung Sungai Baru supaya menjadi mata dan telinga kami dengan melaporkan sebarang aktiviti atau individu mencurigakan," katanya.
Terdahulu, Fadil dilihat memberi penjelasan kepada penduduk yang berkumpul supaya memahami tanggungjawab pihak polis dalam melaksanakan perintah mahkamah.
"Saya seru penduduk supaya sama-sama membantu permudahkan urusan yang diperintahkan mahkamah ini (writ pengosongan kediaman).
"Kita kena bagi kerjasama dan yang paling penting (penduduk) pasang mata bagi mengesan individu berkepentingan mengambil kesempatan sehingga pegawai saya (Ketua Polis Daerah Dang Wangi) cedera," katanya.
Ini merupakan kali kedua operasi pengusiran dilaksanakan selepas cubaan pertama pada 16 Julai lalu bagi mengeluarkan 14 keluarga gagal.
Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru oleh KLCG sebelum ini mendapat tentangan sebahagian penduduk walaupun majoriti sudah menerima tawaran pampasan dan berpindah keluar lebih awal. — The Star/FARIK ZOLKEPLI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram