Remaja gemar nasi ayam sanggup kerja di restoran, timba ilmu perniagaan asas runcit


  • Bisnes
  • Sabtu, 13 Sep 2025

Joshua amat menggemari menu hidangan nasi ayam di Restoran Nam Kee. — Instagram

SEORANG remaja berusia 14 tahun, membuktikan bahawa minat yang mendalam terhadap sesuatu produk atau perkhidmatan mampu membuka peluang ke arah pengalaman kerja yang berharga, walaupun pada usia muda.

Sejak berumur lima tahun, Joshua Alexander Jun Wei Gilby, akan menikmati hidangan kegemarannya iaitu nasi ayam, bersama neneknya di Restoran Nam Kee Chicken Rice, setiap minggu. 

Minat terhadap hidangan ikonik Singapura tersebut mendorong Joshua untuk mendekati restoran terkenal itu, dengan harapan dia dapat pekerjaan sambilan.

BACA LAGI: Cas penuh bateri 100 peratus antara kesilapan ramai buat, ketahui tip panjangkan hayat kenderaan EV

BACA LAGI: Gaji barista RM2,800 tak halang wanita labur beli emas hingga simpanan cecah RM40,000

 

 

Namun, pada usia 13 tahun, permintaannya ditolak kerana dia dianggap terlalu muda untuk bekerja. 

Menurut pemilik Nam Kee, Dave Chew, ini kerana mengikut Undang-Undang Buruh Singapura, remaja berumur 13 hingga 15 tahun dibenarkan bekerja namun kerja terhad kepada tugas-tugas ringan.

Semangat Joshua tidak pudar. Setahun kemudian, dengan keazaman yang sama, dia kembali memohon kerja kosong secara sambilan. 

Dia akhirnya diterima bekerja di cawangan Nam Kee Chicken Rice Upper Thomson selama sebulan dengan tempoh bekerja setiap hari Selasa dan Khamis dari pukul 5 petang hingga 8 malam.

Sepanjang tempoh tersebut, Joshua mempelajari pelbagai kemahiran asas perniagaan runcit seperti berinteraksi dengan pelanggan, mengambil pesanan, mengemas meja, menguruskan pesanan bungkus.

Remaja itu belajar mengasingkan taugeh dengan teliti iaitu salah satu tugas penting dalam menyediakan nasi ayam yang sempurna.

Menurut Joshua, peluang tersebut lebih daripada sekadar pekerjaan sambilan. 

Ia adalah peluang untuk mengetahui rahsia di sebalik keenakan nasi ayam Nam Kee yang sudah lama menjadi kegemarannya. 

“Ibu bapa saya selalu bergurau kalau saya perlu bekerja di sini untuk tahu rahsia resipinya. Gurauan itu akhirnya menjadi kenyataan,” katanya.

 

Apa yang menarik perhatian ramai ialah Joshua adalah seorang remaja berketurunan bukan Cina, namun berani mencuba bidang yang biasanya didominasi oleh orang tempatan. 

Remaja itu yang mengikuti pengajian di United World College South East Asia merupakan penduduk tetap Singapura.

Dave yang mewarisi perniagaan Nam Kee yang beroperasi sejak 1968, mengakui bahawa sikap dan motivasi Joshua sangat luar biasa. 

“Kebanyakan remaja seusianya lebih suka melepak atau bermain permainan video, tapi Joshua mahu alami sendiri suasana bekerja di kedai ini. 

"Saya rasa, ‘Wow, budak ini memang berbeza’,” ujarnya.

Pengalaman Joshua turut dirakam dalam satu video yang dimuat naik oleh Nam Kee di TikTok dan Instagram, meraih hampir 180,000 tontonan di TikTok dan 160,000 tontonan di Instagram sejak 6 September lalu. 

Video tersebut turut menonjolkan usaha Joshua untuk memperbaiki kemahiran berbahasa Mandarin, termasuk mempelajari nama-nama hidangan dalam bahasa Cina.

Joshua belajar mengasingkan taugeh dengan teliti iaitu salah satu tugas penting dalam menyediakan nasi ayam yang sempurna. — Instagram 

memperbaiki kemahiran berbahasa Mandarin, termasuk mempelajari nama-nama hidangan dalam bahasa Cina.

Bagi ibu Joshua, Jeanette Ling, dia mengakui agak bimbang  sewaktu anaknya mula bekerja.

“Kami risau jika dia tertumpah makanan atau bahasa Mandarin dia tidak cukup bagus. 

"Tapi Joshua sangat bersemangat, terbuka untuk belajar dan menantikan setiap hari kerjanya,” katanya.

Bapa Joshua, Robert Gilby pula tidak menahan rasa bangga dan meluahkan kata-kata pujian di Instagram.

“Tahniah Josh kerana berani mengambil peluang ini. Mungkin sebab Nam Kee memang makanan kegemaranmu!”

Selain memperoleh bayaran beberapa ratus ringgit, pengalaman itu memberi lebih banyak nilai tambah kepada Joshua. 

Dia bukan sahaja dapat berinteraksi dengan pelanggan tetapi juga mengasah kemahiran komunikasi dalam bahasa Mandarin walaupun berhadapan cabaran pelanggan yang bertutur dengan pantas.

Joshua juga mendedahkan impiannya untuk memiliki kedai nasi ayam sebaik Nam Kee suatu hari nanti meskipun mengakui tidak mungkin boleh menandingi kelazatan restoran tersebut. — Agensi 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram