
NOVEL Selamat Datang ke Kedai Buku Hyunam-dong yang diterjemah ke dalam Bahasa Melayu daripada judul asal Welcome to the Hyunam-Dong Bookshop antara naskhah sastera Korea yang mencipta populariti di Malaysia.
Fenomena itu bukan sahaja dalam negara malah turut berlaku di luar negara. Ia seiring dengan peningkatan ketara dalam jualan sastera Korea di peringkat antarabangsa, yang meningkat lebih dua kali ganda pada tahun 2024.
Ia dipacu oleh gelombang minat global serta kemenangan bersejarah Hadiah Nobel Sastera oleh Han Kang, menurut data terbaru yang dikeluarkan oleh Institut Penterjemahan Sastera Korea (LTI Korea) pada hari Rabu.
BACA LAGI: Jatuh cinta lepas makan di Malaysia, lelaki Sweden sanggup beli mesin, jual ais kacang bergerak
BACA LAGI: Syarikat dari Rawang keluarkan peranti khatan pakai buang juarai SAY ASPIRE edisi ke-6
Penulis judul Yeonnam-dong's Smiley Laundromat, Kim Ji-yun (kiri) ketika hadir sesi menandatangani buku di Kuala Lumpur baru-baru ini. — FAIHAN GHANI/The Star
Buku-buku yang disokong oleh geran penterjemahan dan penerbitan LTI Korea terjual sebanyak 1.2 juta naskhah di luar negara pada tahun lalu, lonjakan lebih 130 peratus berbanding 520,000 naskhah pada tahun 2023.
Kajian turut menunjukkan bahawa dalam tempoh lima tahun (2020–2024), sebanyak 942 judul dalam 40 bahasa telah terjual dengan jumlah 2.68 juta naskhah — meningkat 730,000 berbanding tempoh lima tahun sebelumnya (2019–2023).
Tahun 2024 menyaksikan peningkatan bukan sahaja dari segi jumlah judul yang diterbitkan, malah purata jualan per buku juga mencatat rekod tertinggi iaitu 1,271 naskhah setiap judul.
Sebanyak 45 judul melepasi angka 5,000 naskhah, manakala 24 judul melebihi 10,000 naskhah.
Antara buku terlaris termasuk Greek Lessons karya Han Kang (Bahasa Inggeris), Yeonnam-dong's Smiley Laundromat oleh Kim Ji-yun (Bahasa Inggeris) dan Snowglobe oleh Park So-young (Bahasa Inggeris).
Antara judul novel Korea yang popular. — The Korea Herald/Asia News Network
Judul lain seperti The Dallergut Dream Department Store penulisan Lee Mi-ye (Bahasa Perancis), The Second Chance Convenience Store oleh Kim Ho-yeon (Bahasa Jerman) dan The Majestic Fox Tail oleh Son Won-pyung (Bahasa Rusia).
Beberapa judul juga menjadi 'steady seller' dengan jualan konsisten melebihi 4,000 naskhah setiap tahun selama tiga tahun berturut-turut.
Antaranya ialah Cursed Bunny tulisan Bora Chung (Bahasa Inggeris), Love in the Big City oleh Park Sang-young (Bahasa Inggeris) dan Kim Ji-young, Born 1982 oleh Cho Nam-ju (Bahasa Jerman).
Fiksyen 'healing' juga terus mendapat sambutan di peringkat antarabangsa. Judul seperti The Second Chance Convenience Store, The Dallergut Dream Department Store, Marigold Mind Laundry oleh Yun Jung-eun berjaya membina kelompok pembaca yang luas di luar negara, menurut wakil LTI Korea.
Contohnya, di Turki, novel Welcome to the Hyunam-Dong Bookshop oleh Hwang Bo-reum mencatat jualan melebihi 80,000 naskhah dalam tahun 2024 sahaja, manakala di Poland, lebih 20,000 naskhah The Second Chance Convenience Store telah terjual.
Kemenangan Han Kang dalam Hadiah Nobel Sastera 2024 memacu minat global terhadap Sastera Korea di persada antarabangsa. — Nobel Prize Outreach
Genre sastera juga menunjukkan perkembangan positif. Edisi Bahasa Jerman untuk buku pertama dalam siri Bird That Drinks Tears oleh Lee Yeong-do mencatat jualan lebih 20,000 naskhah.
Novel grafik Grass oleh Keum Suk Gendry-Kim dalam edisi Bahasa Sepanyol pula mengekalkan jualan melebihi 10,000 naskhah setahun selama tiga tahun berturut-turut.
Menurut LTI Korea, kemenangan Han Kang dalam Hadiah Nobel Sastera 2024 menjadi pemangkin utama kepada lonjakan sastera Korea di persada antarabangsa.
Karya-karya Han yang diterjemahkan ke dalam 28 bahasa dan diterbitkan dalam 77 edisi dengan sokongan LTI Korea telah mencatat jualan sekitar 310,000 naskhah pada tahun 2024 sahaja.
Minat terhadap karya Han bukan sahaja tertumpu pada keluaran terbaru.
Jualan tahunan untuk karya beliau sebelum 2023 juga melonjak lima kali ganda, daripada sekitar 30,000 naskhah pada 2023 kepada 150,000 naskhah pada 2024. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram