Syarikat dari Rawang keluarkan peranti khatan pakai buang juarai SAY ASPIRE edisi ke-6


  • Bisnes
  • Jumaat, 12 Sep 2025

Pengarah Urusan Drims Trading, Mohd Haniff Hanizam bercakap sesuatu kepada Tengku Amir Shah pada acara SAY ASPIRE Final Pitch edisi ke-6.

SYARIKAT pengeluar peranti berkhatan pakai buang, Drims Trading Sdn Bhd (Drims Trading), muncul sebagai juara SAY ASPIRE Final Pitch edisi ke-6 menerusi produk inovatif, Ismail Clamp yang direka khas untuk penggunaan yang selamat, cepat dan efisien.

Menerusi kejayaan itu, Drims Trading memenangi geran sebanyak RM10,000 dan lawatan pasaran antarabangsa yang ditaja ke negara pilihan bagi tujuan promosi dan rundingan perniagaan.

Selain itu, Drims Trading juga menerima program bimbingan mentorship SAY ASPIRE+ selama 6 bulan dan ruang pameran di Malaysia International Halal Showcase bernilai RM10,000 selain peluang jaringan kerjasama dengan agensi-agensi berkaitan.

BACA LAGI: 'Besar pahala bantu orang sakit', Jururawat JDT mandikan pesakit terlantar, cuci luka 'bed-sore' di Johor

BACA LAGI: Resipi karipap arwah mak jadi talian hayat ibu tunggal mulakan bisnes, kini jadi 'supplier' kafe termasuk Richiamo

Pengarah Urusan Drims Trading, Mohd Haniff Hanizam (dua kanan) bergambar bersama Tengku Amir Shah (tengah) selepas dinobatkan sebagai Juara SAY ASPIRE edisi ke-6.

Penyampaian hadiah itu disempurnakan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai pengasas dan penaung Diraja Selangor SAY.

Ditubuhkan sejak tahun 2006, Drims Trading berkembang pesat dengan menjadikan Johor sebagai lokasi kilang OEM manakala ibu pejabat syarikat beroperasi di Rawang, Selangor. 

Rekod prestasi kewangan syarikat turut menunjukkan trend jualan tahunan yang positif dari tahun 2022 hingga 2024, menandakan pertumbuhan yang kukuh serta permintaan pasaran yang konsisten terhadap produk mereka.

Produk Ismail Clamp telah mendapat pelbagai pengiktirafan penting termasuk Pensijilan kelulusan daripada Medical Device Authority (MDA), Pendaftaran dan Perlindungan Harta Intelek dari Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO.

Sebagai bukti komitmen syarikat dalam memastikan aspek keselamatan dan kualiti produk diiktiraf di peringkat antarabangsa, Drims Trading juga memperoleh perlindungan hak cipta di Indonesia. 

Menerusi kemenangan di SAY ASPIRE, Drims Trading kini berhasrat untuk menembusi pasaran luar negara, khususnya di negara jiran seperti Thailand, Indonesia, Brunei dan Filipina.

Pemenang tempat ketiga SAY ASPIRE, MTO Resources (Tungbayee). 

Pihak syarikat percaya bahawa gabungan inovasi produk, kapasiti pengeluaran besar dan pengiktirafan antarabangsa itu akan memperkukuh kedudukan mereka sebagai salah satu pemain utama dalam industri peranti perubatan di rantau ASEAN.

SAY ASPIRE Pitch Finale edisi-6 diadili oleh Tengku Amir Shah sendiri selain Exco Belia, Sukan, Keusahawanan & Ekonomi Kreatif Selangor, Mohd Najwan Halimi dan Ketua Pegawai Operasi, Malaysia Venture Capital Management (MAVCAP).

Juri lain ialah Dr. Noor Amy Ismail, Pengarah Akademi Eksport dan Seksyen Pembangunan Pasaran MATRADE, Naim Abdul Rahman dan Pengurus Besar Kumpulan, Pembangunan Perniagaan dan Perancangan Strategik Kumpulan Syarikat Sri Ternak, Aw Joo Leng.

Tempat kedua dimenangi oleh Gritz Sdn Bhd menerusi produk berasaskan minyak terapeutik berjenama Gritz manakala tempat ketiga MTO Resources (Tungbayee) (produk penjagaan ibu dan bayi) yang masing-masing memperoleh geran RM7,000 dan RM5,000.

Program SAY ASPIRE berjaya menarik ratusan penyertaan sebelum 10 syarikat usahawan terbaik dipilih membuat pembentangan akhir di hadapan barisan juri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram