
PEMILIK kenderaan elektrik (EV) disarankan untuk mengamalkan tabiat mengecas dan meletak kenderaan secara lebih bijak.
Ini termasuk mengekalkan paras bateri antara 20 hingga 80 peratus bagi memanjangkan jangka hayat bateri di samping mengelakkan kerosakan dalam jangka masa panjang, kata pakar keselamatan.
Profesor Madya Dr Law Teik Hua dari Universiti Putra Malaysia berkata, keselamatan jangka panjang EV sangat bergantung kepada pengurusan bateri yang proaktif dan berhemah.
BACA LAGI: Gaji barista RM2,800 tak halang wanita labur beli emas hingga simpanan cecah RM40,000
BACA LAGI: Peluang miliki aset di awan, untung atau rugi labur beli hartanah di tanah tinggi?
Bateri penuh 100 peratus hanya sesuai untuk perjalanan jauh. — Gambar hiasan/ The Star
Antara amalan utama ialah kawalan suhu yang sangat penting dalam mengekalkan prestasi bateri.
“Secara asasnya, amat penting untuk tidak membiarkan bateri berada pada paras terlalu penuh atau terlalu rendah untuk tempoh lama.
"Untuk kegunaan harian, bateri sebaiknya dikekalkan antara 20 hingga 80 peritus.
"Bateri penuh 100 peratus hanya sesuai untuk perjalanan jauh, dan elakkan daripada membiarkan ia turun bawah 10 peratus,” katanya.
Menurut beliau, fungsi tetapan had pengecasan yang terdapat dalam sistem kenderaan boleh digunakan untuk menguruskan perkara itu dengan mudah.
“Kaedah pengecasan utama sepatutnya menggunakan pengecas Level 2 di rumah, manakala pengecas pantas DC (DC fast charging) hanya digunakan ketika perjalanan jauh atau kecemasan.
“Ini kerana penggunaannya yang kerap boleh menghasilkan haba berlebihan dan menjejaskan jangka hayat bateri.
“Walaupun pengecasan secara tetap disarankan, EV tidak perlu sentiasa dipalamkan (plugged in) kerana membiarkannya dicas penuh selama beberapa hari boleh mempercepatkan degradasi bateri,” jelasnya.
Muhammad Nur Sadiqin Mohd Khusni mengecas kereta EV di stesen pengecasan Gentari. — THOMAS YONG/The Star
Dr Law turut menyarankan agar EV diletakkan di dalam garaj atau tempat berbumbung bagi mengelakkan pengumpulan haba berlebihan, satu amalan yang juga penting di kawasan iklim sejuk.
“Gunakan fungsi pra-kondisi (preconditioning) untuk memanaskan atau menyejukkan kabin dan bateri semasa kenderaan masih disambungkan ke sumber kuasa.
"Dengan ini, ia dapat mengurangkan beban tenaga ketika dipandu.
“Disarankan juga untuk menggunakan sistem kawalan suhu asal kenderaan, dan elakkan memintas (bypass) sistem ini.
"Aktiviti seperti pemanduan laju atau trailering dalam cuaca panas boleh memberi tekanan berlebihan kepada sistem dan menjejaskan hayat bateri,” tambahnya.
Katanya, peraturan tersebut lebih penting di kawasan beriklim panas, yang mana adalah lebih baik dielakkan pengecasan pantas ketika waktu tengah hari semasa cuaca panas, serta prapenyejukan kabin dengan kenderaan yang masih tersambung pada pengecas.
“Andainya EV perlu disimpan untuk tempoh panjang – beberapa minggu atau bulan, paras cas bateri harus dikekalkan antara 40 hingga 60 peratus, iaitu paras cas sederhana.
“Kalau boleh, kenderaan harus ditinggalkan dalam keadaan masih tersambung dan tetapan had pengecasan diaktifkan.
"Jika tidak, paras bateri perlu diperiksa setiap beberapa minggu dan dicas sedikit jika perlu untuk mengelakkan nyahcas terlalu dalam (deep discharge) yang boleh merosakkan sel bateri,” katanya.
Beliau turut menyarankan agar EV disimpan di dalam garaj yang memiliki pengudaraan baik, serta penjagaan bateri tambahan 12V dan pemeriksaan tekanan tayar sebelum dan selepas penyimpanan dilakukan.
“Dengan mengamalkan kaedah pengecasan bijak, kawalan suhu yang berhemah dan pelarasan mengikut musim, pemilik boleh memanjangkan jangka hayat bateri EV.
"Ia juga memastikan kenderaan beroperasi dengan selamat dan cekap untuk tahun-tahun akan datang,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Prof Dr Wong Shaw Voon menasihatkan pengguna EV supaya membaca dan merujuk panduan manual pengguna yang dibekalkan oleh pengeluar.
“Perlu diingat mungkin terdapat variasi dalam teknologi bateri, jadi perkara paling utama ialah membaca, memahami dan mengamalkan cara penggunaan EV yang selamat, termasuk kaedah pengecasannya,” katanya lagi. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram