
MENJAGA kebersihan pesakit terlantar di rumah atau bedridden adalah satu tugas mulia yang jarang mendapat perhatian ramai.
Bagi Ajwad Farhan yang bertindak sebagai Pengurus Pesakit Jururawat JDT, tugas itu bukan sahaja menjadi rutin hariannya malah memberi makna mendalam dalam hidup.
Menyediakan perkhidmatan memandikan pesakit di rumah, Ajwad Farhan berkata, servis Jururawat JDT itu bertujuan memudahkan urusan waris dan juga pesakit.
BACA LAGI: Gaji barista RM2,800 tak halang wanita labur beli emas hingga simpanan cecah RM40,000
Sebagai seorang jururawat, Ajwad Farhan sudah terbiasa menghadapi pelbagai jenis pesakit, termasuk yang agresif dan memerlukan penjagaan khusus.
“Saya pernah uruskan pesakit bedridden akibat strok dan sebagainya. Pengalaman itu mengajar saya banyak perkara tentang kesabaran, tanggungjawab dan kemahiran khusus dalam penjagaan,” katanya.
Servis yang ditawarkan bukan sekadar mandi pesakit sahaja malah meliputi gunting rambut dan bercukur, yang mana ia membantu pesakit untuk merasa lebih segar dan kemas walaupun mereka tidak boleh bergerak sendiri.
Salah satu masalah utama yang sering dihadapi oleh pesakit yang terlantar lama adalah perubahan pada kulit mereka yang akan bertukar gelap dan bertompok.
"Apabila lama tak mandi atau dibersihkan, kulit pesakit boleh menjadi gelap gara-gara pertumbuhan daki dan pengumpulan sel kulit mati.
"Yang banyak terlantar di katil pun boleh mengalami luka 'bedsore'.
"Oleh itu, saya memastikan setiap pesakit mendapat penjagaan yang teliti ketika memandikan mereka,” jelas Ajwad yang turut dibantu jururawat lelaki, Hadiff.
Ajwad Farhan menyediakan servis itu buat orang Johor termasuk di Johor Bahru, Kulai, Gelang Patah, Pontian dan Kota Tinggi.
Selain perkhidmatan memandikan pesakit terlantar, Jururawat JDT juga menawarkan servis penukaran tiub hidung (Ryles tube/ NGT), penukaran tiub kencing (catherer), cucian dan rawatan luka (bedsore, luka diabetes dan pembedahan).
Seorang pengguna Threads, Hasiahrizal berkata, pekerjaan yang dibuat itu sungguh mulia memandangkan tidak ramai mampu membuatnya pada masa kini.
"Walaupun servis ini berbayar, nilai yang diterima jauh lebih daripada sekadar wang. Kerja ini memerlukan ilmu, kesabaran dan keikhlasan," katanya.
"Ia bukan mudah, tetapi saya percaya setiap usaha yang dilakukan dengan niat baik akan diberkati,” kata Sarazahida pula. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram