‘Chemistry ngam' Najib dengan isteri, ibu mentua jadi resipi kejayaan Serai Group bertahan 15 tahun


  • Bisnes
  • Sabtu, 06 Sep 2025

SERAI Group merupakan nama yang tidak asing lagi dalam industri makanan dan minuman (F&B) di Malaysia.

Bermula dengan sebuah restoran Serai Thai di Shah Alam pada 1990, Serai membina empayar perniagaan lebih besar menerusi penubuhan Serai Group.

Nama Serai dikekalkan apabila perniagaan itu diperluas pada tahun 2010 mengambil kira jenamanya yang sudah dikenali dan menambat hati ramai pelanggan.

BACA LAGI: Transaksi SARA naik 4 kali ganda, perbelanjaan cecah RM192.4 juta seluruh negara

BACA LAGI: Bos Pet World menongkah arus demi 'anak bulus', ambil 'bold action' labur jutaan ringgit ketika Covid-19

Interviu Serai Group founder, Datuk Najib di Serai Dining Loft, Pavilion, Kuala Lumpur. — FAIHAN GHANI/The Star

Di Serai Group, Najib berkata, setiap orang memainkan peranan penting dalam operasi harian restoran.  — FAIHAN GHANI/The Star

Hari ini di bawah Serai Group terdapat 15 rangkaian restoran yang menawarkan gastronomi berbeza daripada hidangan cita rasa tempatan, selera continental, kopitiam, piza hinggalah gelato. 

Ia merangkumi Serai Cafe, Serai Thai, Serai Chicken Rice, Jibby & Co, Jibby by the Park, Jibby Chow, Jibby East Grill, Makamakan, Meriah, Meet Bros (berpangkalan di London), Blonde, Taffy Gelato, Chum Chum Pizzeria dan Lola.

Tidak terhenti di situ, Serai Group menjalinkan kerjasama dengan Lotte GRS dari Korea Selatan untuk membawa francais burger terkenal dunia, Lotteria, ke Malaysia.

Pengarah Urusan Serai Group, Datuk Mohd Najib Abdul Hamid mendedikasikan pencapaian yang dikecapi kepada ibu mentua, Rina Abdullah dan isteri tercinta, Qistina Taff.

Dua figura wanita itu menjadi tulang belakang sejak penubuhan Serai dengan Rina, sebagai pengasas manakala Qistina pula bertindak sebagai pengarah projek yang memainkan peranan penting dalam membentuk kejayaan Serai Group hari ini. 

Bagi Najib, ibu mentuanya disifatkan sebagai individu yang berpengalaman dan banyak memberi inspirasi.

"Ibu mentua saya berkecimpung dalam industri makanan sejak lebih empat dekad lalu dan dia memberikan contoh yang tidak ternilai.

"Sejak membuka restoran Serai Thai pada 1990, beliau menunjukkan ketekunan dan semangat yang tiada tandingan. Walaupun semakin berusia, tenaga dan semangatnya tidak juga pudar malah semakin bertambah.

"Kadang-kadang saya sendiri terfikir, dari mana dia dapat semua tenaga itu. Saya benar-benar terinspirasi dengan keazaman dan kecintaannya terhadap industri ini.

"Tak ramai orang boleh mengekalkan semangat seperti ini setelah sekian lama," katanya kepada Majoriti.

Interviu Serai Group founder, Datuk Najib di Serai Dining Loft, Pavilion, Kuala Lumpur. — FAIHAN GHANI/The Star

Bagi Serai Group, kualiti dan konsistensi menjadi resipi kejayaan bertahan dalam industri F&B. — FAIHAN GHANI/The Star

Qistina pula disifatkan sebagai seorang wanita yang bijak membahagikan masa antara keluarga dan perniagaan.

"Saya sangat kagum dengan cara dia mengimbangi tanggungjawab sebagai seorang ibu, isteri dan pada masa sama, uruskan perniagaan.

"Dia bukan saja menjaga anak-anak, tetapi juga memastikan segala urusan harian dan tugasan pejabat dapat diselesaikan dengan sempurna," kongsi Najib yang menganggap isterinya cukup luar biasa.

Najib yang memiliki latar belakang sebagai seorang cef profesional dan pernah menetap di Australia berpendapat, chemistry yang dibentuk dalam keluarga dan kerjasama satu pasukan dianggotai lebih 800 staf menjadi kunci kejayaan Serai Group.

Bermula dengan sebuah restoran Serai Thai di Shah Alam pada 1990, Serai membina empayar perniagaan lebih besar menerusi penubuhan Serai Group. — FAIHAN GHANI/The Star

"Menguruskan begitu banyak jenama bukanlah satu tugas yang mudah. 

"Nak kendalikan satu-satu perniagaan ini ibarat macam jaga bayi. Ia memerlukan perhatian setiap hari. 

"Anda perlu memastikan kualiti tetap terjaga, staf dilatih dengan baik dan perkhidmatan sentiasa memuaskan. Semua ini memerlukan dedikasi dan pengurusan yang teliti.

"Di Serai Group, setiap orang memainkan peranan penting. Kualiti dan konsistensi adalah perkara utama yang kami utamakan," jelas Najib lagi.

Keprihatinan terhadap pengurusan kakitangan jelas terbukti apabila perniagaan terjejas akibat pandemik Covid-19 yang memberi kesan besar kepada industri F&B. 

"Walaupun perniagaan kami terkesan, perkara pertama yang kami fikirkan adalah bagaimana menjaga staf kami. Kami tidak mahu ada sesiapa yang kehilangan pekerjaan atau dalam kesusahan," katanya.

Interviu Serai Group founder, Datuk Najib di Serai Dining Loft, Pavilion, Kuala Lumpur. — FAIHAN GHANI/The Star

Najib berkata, 'chemistry' yang dibentuk dalam keluarga dan kerjasama satu pasukan dianggotai lebih 800 staf menjadi kunci kejayaan Serai Group. — FAIHAN GHANI/The Star 

Bagi membantu staf mereka, Serai Group mengambil langkah untuk memastikan tiga keperluan asas staf meliputi tempat tinggal, perubatan dan makanan dapat dipenuhi walaupun ketika operasi restoran terhad.

Selain itu, Najib berkata, mereka juga mengambil langkah kreatif dengan memperkenalkan perkhidmatan penghantaran makanan dan pembungkusan yang lebih baik untuk memastikan makanan tetap berkualiti tinggi apabila dihantar ke rumah pelanggan.

Setelah pandemik, Najib menyedari bahawa industri F&B juga semakin kompetitif yang memberi satu dimensi cabaran berbeza. 

Bagi Serai Group, fokus utama mereka adalah untuk terus relevan dalam pasaran yang disifatkan agak saturated yang mana jumlah penawaran produk menandingi permintaan pengguna.

"We are quite fast to pick-up. Kami tingkatkan kehadiran digital, memperkukuhkan platform penghantaran dan memastikan pengalaman pelanggan yang konsisten, tidak kira di restoran fizikal atau secara dalam talian," katanya.

Sebahagian menu yang menggamit selera di Serai. — Serai Group

Tutur Najib lagi, ada satu perkara yang tetap menjadi resipi kejayaan Serai Group iaitu kualiti dan konsistensi. 

"Setiap jenama dalam Serai Group mempunyai konsep dan menu yang unik tetapi apa yang kami tawarkan ialah makanan dengan cita rasa autentik, sedap, berkualiti dan rasanya konsisten," tambahnya.

Menggemari Serai Platter, Najib berkata, hidangan asam pedas ekor lembu bersama ayam goreng berempah, sotong madu, acar dan nasi wangi yang dimasak dengan serai segar menjadi signatur di restoran itu.

"Asam pedas ekor lembu itu sendiri memberikan kelainan kerana ia sedikit pekat seperti rendang, gaya asam pedas orang Sabah," katanya yang memang berasal dari Negeri di Bawah Bayu itu.

Bagi Qistina pula, nasi kerabu Serai menjadi juadah kesukaannya kerana kombinasi rasa ayam percik bersama sambal cili dan budu tumis yang dimasak menaikkan selera dan memberikan keistimewaan kepada hidangan asli negeri Kelantan itu. 

Hidangan pisang goreng bersalut tepung daripada adunan pandan bersama aiskrim vanila dan pavlova beri juga menjadi kegemaran pelanggan yang berkunjung ke Serai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram