[VIDEO] Menabung selama 6 tahun dapat RM6,000, ramai pula nasihat lebih baik simpan di ASB atau beli emas


  • Tular
  • Ahad, 07 Sep 2025

Tangkap layar menunjukkan detik wanita berkenaan memecahkan tabungnya. 

DISIPLIN menabung sememangnya bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi jika dilakukan dalam tempoh bertahun-tahun. 

Namun, seorang wanita berjaya membuktikan kesabaran dan konsistensi mampu membuahkan hasil apabila berjaya mengumpul kira-kira RM6,000 selepas enam tahun menyimpan di dalam tabung tembikar.

Perkongsian itu tular selepas dimuat naik pengguna Facebook, Fadzli Fann yang memaparkan rakaman berdurasi satu minit 23 saat menunjukkan detik wanita berkenaan memecahkan tabungnya. 

BACA LAGI: [VIDEO] Mangsa mesin padi terjunam ke sungai ditemui tidak bernyawa di Kampung Sanglang

BACA LAGI: [VIDEO] Lima penuntut IKM maut tersepit, nahas babit 2 kenderaan dekat Pusat Latihan RELA Tuaran

Lebih mengagumkan, tabung berkenaan dipenuhi dengan wang kertas RM50 dan RM100 yang difahamkan dikumpulkan hasil titik peluhnya berniaga secara dalam talian termasuk program affiliate.

Menurut Fadzli, wanita itu hanya mengeluarkan tabungnya ketika berdepan kesempitan hidup dan sepanjang tempoh enam tahun tersebut, dia tidak pernah menyentuh simpanan berkenaan walaupun sekali.

"Akak ini keluarkan tabungnya di saat-saat hari kesempitannya. Lihat geng betapa banyaknya wang yang dikeluarkan daripada tabungan ini. Selama enam tahun, baru kali ini dia keluarkan semuanya. Tapi memang puas hati geng, banyak itu. 

"Selama enam tahun sahaja, tak pasti dalam sehari berapa puluh atau berapa ratus dia simpan. Ini gaji daripada hasil berjualan seperti affialate, semua ditabungkan dalam ini. Siapa pernah buat begini, memang hebat. 

"Berkepuk semua. Tak sia-sia menabung selama enam tahun. Ini kalau abang, memang tidaklah. Akan sering keluarkan, sedangkan syiling pun selalu dikeluarkan. Tapi memang mantap, boleh tiru cara akak ini," katanya dalam video itu. 

Tangkap layar wanita itu sedang mengeluarkan wang dari tabungnya.

Perkara itu nyata mendapat perhatian ramai di media sosial, ada yang menganggap ia satu contoh baik untuk diikuti kerana menabung secara tradisional masih mampu mendisiplinkan diri tanpa perlu bergantung kepada sistem bank. 

Namun, tidak kurang juga apabil sebahagian warganet tampil memberikan nasihat agar wang simpanan dalam jumlah besar sebaiknya dilaburkan dalam bentuk Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau emas bagi menjana keuntungan lebih tinggi.

"Kalau duit syiling okey lah di buat tabung tapi kalau duit kertas rugi sangat sebab kalau simpan dalam bank atau ASB bukan saja selamat tapi bertambah," kata pengguna Facebook, Benidick Benz. 

"Tidak rosak ke duit dimakan anai-anai. Duit dia dah banyak yang dimakan inflasi kerana tempoh yang lama. Baik tukar terus kepada bentuk emas," pendapat warganet, Suria Mohd Salleh. 

Walaupun pelbagai pandangan dikongsi, rata-rata warganet jelas mengakui kagum dengan kegigihan wanita tersebut kerana tidak semua orang mampu bertahan sedemikian lama untuk menabung. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram