[VIDEO] Harga emas dijangka naik 10 peratus menjelang September, pakar cadang beli gold bar berbanding emas perhiasan


  • Bisnes
  • Rabu, 13 Ogos 2025

Emas dalam bentuk jongkong adalah pilihan lebih berbaloi berbanding emas perhiasan.

HARGA emas berpotensi diunjurkan terus meningkat sebanyak 10 peratus pada September ini daripada paras semasa, didorong oleh jangkaan penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS).

Presiden Persatuan Emas Malaysia (MGA), Datuk Seri Louis Ng sebelum ini menjelaskan logam berharga itu berpotensi untuk terus mencatat kenaikan susulan jangkaan perbezaan kadar faedah yang semakin mengecil antara dolar AS dan ringgit akan merangsang permintaan.

Melihat kepada perkembangan berkenaan, pasti orang ramai tidak mahu ketinggalan untuk menambah aset mereka dengan membeli emas sebagi pelaburan jangka masa panjang di kemudian hari. 

BACA LAGI: Pengecualian SST: Pasaran emas Malaysia lebih kompetitif berbanding Singapura-Indonesia — Perunding Kewangan

BACA LAGI: Jangan tunggu harga emas turun, beli ketika mampu — Pengasas Angsa Emas Jewellery

Barang kemas atau jongkong emas, Perunding Kewangan iaitu Shamsuddin Kadir berkongsi pendapat pembelian emas dalam bentuk jongkong (gold bar) adalah pilihan lebih berbaloi berbanding emas perhiasan kerana perbezaan spread atau susut nilai yang lebih rendah.

Gold bar lebih baik daripada emas perhiasan. Emas perhiasan ada spread 25 hingga 30 peratus, manakala jongkong emas cuma sekitar 10 peratus," katanya kepada Majoriti. 

Shamsuddin memberi contoh bahawa jika membeli emas perhiasan bernilai RM10,000, harga jual semula biasanya sekitar RM6,500 hingga RM7,500. Sebaliknya, jongkong emas dengan nilai sama boleh dijual semula melebihi RM9,000.

Namun, beliau mengingatkan pembeli supaya berhati-hati kerana terdapat juga kedai yang mengenakan upah tambahan untuk gold bar walaupun kos pengeluarannya jauh lebih rendah berbanding barang kemas.

Perunding Kewangan, Shamsuddin Kadir.

"Kalau emas perhiasan pun upah mahal sebeb nak buat design tak mudah. Kalau gold bar dia buat satu acuan, sampai bila-bila itulah design. Tapi ada kedai emas jual gold bar dengan upah tapi orang tak tahu. 

"Ada kedai letak harga tanpa upah. Kalau saya lalu, saya nampak macam harga gold bar. Gold bar kan 999 tapi perhiasan 916. Sepatutnya berbeza tapi jadi hampir sama disebabkan perhiasan ada kos upah," kongsinya. 

Menurut beliau, salah satu faktor utama kenaikan harga emas dijangka pada bulan depan adalah kemungkinan Fed AS menurunkan kadar faedah, yang kini melebihi empat peratus dan pernah mencecah 5.25 peratus pada 2023.

"Bila kadar faedah tinggi, pelabur lebih cenderung simpan duit di situ, bukan dalam emas. 

Tapi jika kadar faedah turun, contohnya seperti yang dijangka pertengahan September, pelabur dalam federal reserve akan mula alihkan dana ke emas. 

"Jika kadar federal reserve jatuh, emas akan naik. Jika kadar faedah naik contoh ke 6 peratus harga emas akan turun, tapi bukan seteruk dulu cuma sedikit," jelas Shamsuddin lebih lanjut. 

Ramai yang mula mempunyai kesedaran tentang simpanan emas. -Gambar hiasan

Selain itu, beliau juga menjelaskan bahawa ketegangan geopolitik seperti konflik Rusia–Ukraine atau krisis di Timur Tengah boleh melonjakkan harga emas kerana pelabur mencari aset selamat.

Hubungan harga emas dan minyak dunia juga perlu diperhatikan, di mana harga minyak naik biasanya menyebabkan emas turun dan sebaliknya.

Dalam pada itu, Shamsuddin menasihatkan pembeli mendapatkan emas daripada syarikat atau kedai emas bereputasi yang diiktiraf ketulenannya serta memastikan emas dimiliki secara fizikal.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya membeli emas menggunakan wang lebihan yang tidak diperlukan sekurang-kurangnya untuk tempoh setahun dan memastikan ada simpanan tunai bagi kecemasan.

“Elakkan beli emas kecil bawah 10 gram kerana kosnya lebih tinggi. Kadang-kadang harga emas kecil boleh mencecah RM500 segram berbanding jongkong besar yang jauh lebih murah per gram.

“Kalau guna semua wang simpanan untuk beli emas dan terpaksa jual dalam masa terdekat, pembeli boleh rugi kerana spread jualan,” tegasnya. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram