
BERGELAR ibu tunggal seawal usia 19 tahun bukanlah sesuatu yang mudah.
Namun, bagi wanita bernama Kirsty Henshaw, pengalaman pahit itu menjadi titik tolak yang mengubah seluruh hidupnya.
Kini, pada usia 39 tahun, ibu kepada dua orang anak itu berjaya membina dan menguruskan perniagaan sendiri.
BACA LAGI: Geram dicurangi, isteri 'belanja' RM30,000 duit suami, jalani bariatrik, beli kereta baharu
BACA LAGI: FOMO punca utama anak muda terjebak budaya buli, bimbang dipulaukan, tekanan rakan sebaya
Kirsty memulakan langkahnya seawal usia 19 tahun. — Agensi
Wanita berasal dari Cheshire, England, United Kingdom (UK) itu juga ternyata pernah muncul dalam program televisyen popular Dragon’s Den di kala perniagaannya mula berkembang.
Kirsty juga berkesempatan berkongsi kisah jatuh bangun serta segala keringat yang dicurahkan demi membangunkan empayar produk makanan segeranya dan mesra alergik.
Alahan anak cetus idea
Usahanya bermula selepas melahirkan anak sulungnya, Jacob pada usia 19 tahun.
Lebih mencabar, Jacob didiagnos mempunyai alahan serius terhadap kacang dan produk tenusu.
Demi memastikan anaknya dapat menikmati makanan dengan selamat, Kirsty mula bereksperimen mencipta resipi aiskrim tanpa tenusu dari dapur kecil rumah sewanya.
Dengan berbekalkan mesin aiskrim bajet berharga hanya £30 (sekitar RM180), tercetuslah idea yang akhirnya membawa beliau ke dunia perniagaan.
Jacob (kiri) yang menjadi pencetus idea Kirsty memulakan perniagaannya. — Agensi
Daripada aiskrim ke hidangan 'ready to eat'
Pada tahun berikutnya, Kirsty tampil di rancangan Dragon’s Den pada 2010 dan berjaya menarik perhatian pelabur ternama Peter Jones dan Duncan Bannatyne.
Dragons' Den ialah program perniagaan televisyen realiti British diinspirasikan berdasarkan siri asal Jepun.
Ketika itu, Kirsty menerima pelaburan bernilai kira-kira £65,000 (RM390,000) sebagai modal untuk mengembangkan bisnes.
Walaupun pada awalnya hanya memasarkan aiskrim, Kirsty sebenarnya mempunyai visi besar untuk dikenali sebagai jenama yang selamat.
Katanya, produknya juga mahu dijual pada pelanggan yang mempunyai alahan atau alergik seperti anaknya.
Jenamanya yang diberi nama Kirsty's kini mempunyai kilang di Yorkshire, England di mana 90 peratus daripada produk mereka dihasilkan bebas karbon.
Perniagaan itu mempunyai kira-kira 60 pekerja sekarang termasuk anaknya Jacob yang menjadi inspirasi di sebalik keseluruhan syarikat.
Selepas beberapa tahun, jenamanya berkembang ke pasaran makanan sejuk beku termasuk hidangan ready to eat seperti piza dan pencuci mulut.
Kini produk tersebut boleh ditemui di hampir semua pasar raya utama di UK.
Lebih 10 jenis rangkaian produk jenama Kirsty's yang dijual di pasaran. — Agensi
Nilai jualan cecah RM90 juta setahun
Selepas berhempas pulas mencari rezeki, jualan tahunan Kirsty kini mencecah £15 juta (RM90 juta).
Sasarannya pula adalah untuk mencapai RM150 juta dalam tempoh dua tahun akan datang.
Kirsty, yang juga ibu kepada Sophie berusia enam tahun berkata, pengalaman sepanjang 15 tahun membangunkan perniagaan itu umpama mendapat ijazah penuh dalam bidang perniagaan.
"Saya tidak pernah berhenti berharap. Walaupun perjalanan penuh cabaran, saya mahu menunjukkan kepada anak-anak bahawa dengan kerja keras, apa sahaja boleh dicapai.
"Matlamat saya bukan sekadar mengeluarkan produk untuk golongan alahan, tetapi menormalkan makanan bebas alergik yang sihat, enak dan sesuai untuk semua," jelasnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram