
PICKLEBALL antara sukan baharu meningkat naik yang semakin mendapat tempat dalam hati kalangan masyarakat Malaysia.
Melihat perkara itu sebagai satu peluang besar, pengasas Mothership, Janet Teo mengambil langkah untuk menyediakan fasiliti lengkap bertaraf antarabangsa di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.
Lebih istimewanya apabila Mothership memperkenalkan fasiliti gelanggang pickleball berteknologi kecerdasan buatan (AI) yang direka khusus bagi memberi kepuasan kepada pemain sosial mahupun mereka yang bercita-cita untuk bergelar profesional.
BACA LAGI: [VIDEO] Sukan pickle ball makin canggih, gelanggang AI jadi tarikan Mothership
BACA LAGI: Tak sampai 30 saat, ibu anak 2 pecah rekod dunia lari 'berkaki ayam' 100 meter atas trek mainan Lego
Kemudahan AI yang ditawarkan kepada pelanggan.
Bukanlah semata membina nama dalam dunia perniagaan dan sukan, namun bagi Janet ia lebih sekadar tempat permainan.
Baginya, fasiliti yang disediakan merupakan peluang untuk membina komuniti serta membuka ruang kepada bakat baharu tempatan berkembang dan bersatu menjalankan gaya hidup sihat.
Dari PickleFox ke Mothership
Perjalanan Janet bermula sejak Mei 2024 menerusi PickleFox iaitu sebuah platform e-dagang yang menjual peralatan pickleball.
Katanya, idea tersebut muncul apabila anak jati Kuala Lumpur itu sendiri sukar untuk mendapatkan peralatan sukan tersebut seperti bola dan raket (paddle) yang berkualiti di sekitar Malaysia.
"Saya juga meminati sukan ini sejak awal. Kalau di platform e-dagang biasanya pilihan terlalu terhad.
"Tetapi, untuk bermain secara serius, anda perlukan peralatan standard yang diiktiraf," katanya kepada Majoriti.
Bangunan Mothership yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan buat pemain pickleball.
Justeru, Janet membuat keputusan untuk mengimport segala peralatan tersebut dari luar negara dan memastikan ia diperakui United State of America Pickleball Association (USAPA).
Janet bagaimanapun melihat usahanya itu boleh dikembangkan dan diperluaskan lagi.
Hasilnya, lahirlah Mothership, sebuah pusat sukan dalaman moden khusus buat para pencinta pickleball dilengkapi dengan gelanggang profesional, luas dan suasana yang selesa.
Katanya, faktor cuaca panas dan hujan tidak menentu di Malaysia membuatkannya memilih untuk menyediakan ruang tertutup dan selamat.
Konsep Mothership
Sebagai antara pengusaha terawal dalam industri perniagaan pickleball, nama Mothership dipilih bagi menggambarkan ia sebagai lokasi atau pusat rujukan utama kepada semua pemain.
"Sama ada anda mahu bermain untuk suka-suka, mencari tempat latihan lengkap atau berimpian menjadi pemain profesional.
"Saya mahu Mothership jadi destinasi utama. Visi kami juga adalah menyediakan fasiliti profesional supaya jika ada pemain antarabangsa datang, mereka rasa seperti berada di gelanggang sebenar," ujarnya.
Selain memberi perkhidmatan fasiliti, Janet bersama pasukannya turut menjadikan Mothership sebagai inisiatif dalam mencari dan melatih bakat muda tempatan.
Gelanggang yang banyak, selesa dan luas turut disesdiakan.
Menurutnya, pelbagai usaha dilakukan dari memberi pendedahan tentang pickleball di sekolah sehingga menganjurkan program melibatkan kategori remaja dan kanak-kanak.
Kini, Mothership mempunyai dua pemain muda berusia 12 dan 13 tahun yang dipilih untuk mengikuti latihan intensif di bawah syarikat tersebut selama lima bulan.
"Kanak-anak adalah harapan masa depan pickleball Malaysia.
"Dengan latihan seperti ini dan bantuan teknologi AI, kami yakin mereka boleh pergi jauh," katanya.
Di sebalik empayar Mothership
Mengusahakan perniagaan tidak dinafikan bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan.
Namun, Janet percaya bahawa setiap penat lelah dan cabaran dihadapinya mampu memberikan hasil setimpal dengan usahanya.
Kos dan modal awal memulakan operasi perniagaan juga menjadi antara cabaran terbesar dalam hidupnya.
Usaha Janet membangunkan Mothership dengan sokongan keluarga.
Kata wanita berusia 50 tahun itu, lebih RM1 juta kos dikeluarkan bagi meneruskan impiannya.
"Suami antara individu yang banyak mendukung saya terutama apabila saya rasa tertekan.
"Tidak dinafikan dengan pesaing lain yang muncul, ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada saya.
"Saya juga pernah terbangun pukul 3 atau 4 pagi kerana rasa sangat tertekan bila memikirkan tentang pelaburan ini," jelasnya sambil menambah bahawa dia dan suaminya kerap berbincang melakukan strategi bersama.
Mengakui ia satu keputusan besar dan sukar untuk dibuat, namun sokongan keluarga termasuk suami dan anak-anaknya membuatkan Janet sentiasa kuat untuk meneruskan perniagaan.
"Menjadi usahawan, saya sudah tahu risikonya. Wang boleh dicari, tetapi kepercayaan terhadap misi ini terus menguatkan saya.
"Anak-anak saya pun sudah biasa lihat saya berniaga sebab saya mula ceburi bidang ini sejak mereka kecil.
"Jadi, mereka sangat faham setiap kali saya mulakan bisnes baharu dan akan ada sedikit pengorbanan seperti duit belanja rumah dipotong atau sebagainya.
"Tetapi, mereka tidak merungut kerana mereka tahu inilah cara saya membina sesuatu untuk mencari rezeki," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram