
SETIAP pilihan dekorasi bukanlah sekadar soal kecantikan atau estetika semata-mata, malah ia mampu mewujudkan suasana, emosi serta mencerminkan identiti seseorang.
Sama seperti pemilik akaun Instagram @quesha_tinyhouse yang sering berkongsi rutin harian menghias rumahnya.
Baru-baru ini, pemilik tersebut mendedahkan bahawa berjaya mengubah seluruh ruang kediamannya selepas mengambil tempoh yang lama untuk mendapatkan idea.
Beliau juga terpaksa mengambil masa selama empat tahun untuk menghasilkan suasana ruang dengan konsep seperti filem animasi popular dan vintaj.
Konsep itu ternyata diinspirasikan dari studio animasi Jepun iaitu Studio Ghibli yang terkenal dengan suasana tradisional, alam semula jadi dan rekaan rumah penuh karakter.
"Kusha kumpul gajet-gajet klasik yang estetik untuk diletakkan di setiap sudut rumah," katanya.
Menariknya, usahanya juga tidak sia-sia meskipun mendiami kediaman kecil di sebuah pangsapuri.
Berdasarkan video dikongsikan, setiap sudut rumah dihias dengan teliti dan dilengkapi perincian seperti lampu antik, bingkai kayu, perabot retro dan koleksi barangan hiasan yang sesuai dengan konsep tersebut.
Transformasinya juga tidak terhenti di situ.
Kusha turut berkongsi bahawa projek seterusnya melibatkan bilik tidur dengan menggunakan katil baharu lebih kemas dan praktikal.
Ia disertakan tilam custom made yang direka khas mengikut cita rasanya.
Menurutnya, katil tersebut juga membantu menyelesaikan masalah ruang simpanan yang sebelum ini menyebabkan barang-barang mudah berhabuk di bawah katil.
Dalam pada itu, lantai lama bakal digantikan dengan lantai baharu yang akan memberi sentuhan lebih moden dan tahan lebih lama namun masih mengekalkan nuansa hangat dalam konsep vintaj tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram